Isnin, 22 Mei 2017 - 11:42PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

80 warga Indonesia cuba seludup keluar ditahan

Oleh Ravale Savarinathan



KETUA Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad bertanyakan sesuatu kepada warga asing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Teluk Intan, hari ini. - Foto Ravale Savarinathan

TELUK INTAN: Polis menahan 80 warga Indonesia di sebuah rumah setingkat di Bagan Sungai Belukang, Rungkup, dekat sini, yang dipercayai dijadikan lokasi transit oleh ejen untuk membawa mereka keluar ke negara asal secara haram menjelang Ramadan.

Dalam Op Bersepadu Khas Hilir Perak yang dijalankan jam 7.30 malam semalam itu, kesemua warga Indonesia membabitkan 69 lelaki dan 11 wanita ditemui dalam rumah berkenaan yang dipercayai dijadikan rumah transit.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan terhadap kesemua mereka berusia antara 20 hingga 71 tahun itu mendapati 39 daripadanya mempunyai visa yang sudah tamat tempoh manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Siasatan mendapati mereka ingin pulang ke Indonesia untuk menyambut Ramadan, namun menggunakan jalan yang salah kerana visa sudah tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan.

"Mereka membayar ejen berkenaan antara RM600 ke RM800 seorang untuk menggunakan jalan laut ke Dumai, Indonesia," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata, kesemua warga asing berkenaan direman selama 14 hari bermula hari ini sehingga 1 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1956/63 dan Sekyen 6(1)(C) akta yang sama.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan ejen yang dipercayai menjalankan kegiatan itu.


Trending

    Disyorkan