Jumaat, 19 Mei 2017 | 4:21pm
JAMBATAN sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, tenggelam semula awal pagi tadi, selepas tidak sampai 24 jam dibuka kepada pengguna. - Foto Ramli Ibrahim

Jambatan Pulau Setelu tenggelam semula


JAMBATAN sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, tenggelam semula awal pagi tadi, selepas tidak sampai 24 jam dibuka kepada pengguna. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, dekat sini, tenggelam semula awal pagi tadi, selepas tidak sampai 24 jam dibuka kepada pengguna.

Jambatan yang masih dalam proses dibaik pulih itu tenggelam kira-kira jam 5 pagi menyebabkan ratusan penduduk di lebih sepuluh kampung terkandas.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Karmizi Ab Jalil, berkata hujan lebat sejak jam 4 petang menyebabkan arus deras dan jambatan diseret timbunan sisa kayu.

Katanya, pengguna mula dibenar menggunakan jambatan itu yang merintangi Sungai Nenggiri pada jam 6 pagi semalam.

"Hujan lebat petang semalam menyebabkan air sungai naik mendadak sehingga jambatan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan," katanya hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani, berkata kerja membaik pulih jambatan sementara itu sebenarnya dijadual siap sepenuhnya akhir minggu depan.

Bagaimanapun, katanya, akibat kejadian itu, kerja pembaikan mungkin mengambil masa lebih lama.

"Kita tidak boleh beri jaminan bila ia boleh dibuka kepada semula pengguna kerana bergantung kepada keadaan cuaca.

"Kalau nak dikirakan awal tahun ini sahaja lebih 10 kali jambatan sementara itu tenggelam kerana kerap berlaku hujan lebat," katanya.

30 dibaca
Berita Harian X