Jumaat, 19 Mei 2017 | 4:48pm

Lapan langkah pulihkan Cameron Highlands


Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Mengenai Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah di Cameron Highlands di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) di Tanah Rata, Cameron Highlands. - Foto BERNAMA

CAMERON HIGHLANDS: Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Mengenai Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah di Cameron Highlands memutuskan lapan langkah proaktif demi kepentingan penduduk di kawasan tanah tinggi ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia meliputi tindakan memberi peranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju melakukan pemantauan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Kedua, mesyuarat memutuskan pemantauan dilakukan secara berkala supaya tidak berlaku pencerobohan haram sehingga mengakibatkan hakisan tanah dan banjir luar biasa," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu secara bersama dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) di Tanah Rata di sini.

Ahmad Zahid berkata, enam keputusan lain termasuk meminta PDTCH melakukan penilaian semula terhadap lebih 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang ditolak sebelum ini.

Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja warga asing di situ, mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengadakan gotong-royong perdana serta membina penempatan baharu kepada 28 keluarga Orang Asli yang tinggal dalam 13 rumah di Sungai Tiang, Lembah Bertam.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu juga bersetuju mempertimbangkan agar semua rumah kedai yang disita sebelum ini dibenarkan beroperasi tetapi dengan dikenakan levi dan bayaran tertentu.

Katanya, jawatankuasa itu juga bersetuju mempertimbangkan pemberian permit penggunaan tanah kepada pengusaha haram yang sudah beroperasi lebih 30 tahun membabitkan kawasan seluas 229.2 hektar.

52 dibaca
Berita Harian X