Jumaat, 19 Mei 2017 | 6:15pm

Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup 2 minggu


DATUK Ayub Rahmat.- Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Johor mengarahkan supaya Air Terjun Gunung Pulai 1, dekat sini ditutup selama dua minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata penutupan itu berpunca daripada persekitaran pusat rekreasi itu yang kotor dan membolehkan penyiasatan lanjut dilakukan.

Katanya, sampel air sudah diambil namun keputusannya masih belum diperoleh.

"Sekali lagi saya menasihatkan kepada semua pengunjung mana-mana air terjun atau pusat reakreasi sekitar April dan Mei ini, untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran.

"Ia terutama bagi mereka yang mengalami sakit perut, selesema, demam dan lemah anggota badan, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia tengah malam tadi selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dipercayai akibat leptospirosis atau kencing tikus.

Ayub berkata, mangsa, Rosnizam Roslan yang berasal dari Pekan Nanas, Pontian itu meninggal dunia akibat kegagalan organ berfungsi pada jam 12 tengah malam.

"Mangsa dikatakan ada mandi di Air Terjun Gunung Pulai pada April lalu. Pada awalnya, mangsa mengalami sakit perut, selesema, demam selama tiga hari dan lemah anggota badan," katanya.

81 dibaca
Berita Harian X