Isnin, 22 Mei 2017 - 11:43PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pekerja kilang hina Mufti kena RM2,500

Oleh Aizat Sharif



LAMAN Facebook Mohd Shukor Ishak.

KANGAR: Seorang operator kilang didenda RM2,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas memuat naik komen jelik terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin menerusi aplikasi Facebook pada April lalu.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh, Mohd Shukor Ishak dari Mata Ayer, Kangar, Perlis mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Shukor, 30, didakwa menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun http://www.facebook.com/mohd.shukor.986 menggunakan profil 'Mohd Shukor RK' dan secara sedar menghantar komen jelik sifatnya yang bertulis "dok boh video mufti pulak, mufti pun x betoi, suh anak bini dia pakai tudung, kata negeri sunnah, gena rakyat jelata nak ikot, maw ketua agama pun x betoi, nak salah sapa, rakyat ka?" pada jam 6.30 petang pada 30 April lalu.

Komen yang dimuat naik itu didakwa dengan niat untuk menyakiti hati orang lain dan kemudiannya dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada pada 1 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Trending

    Disyorkan