Jumaat, 19 Mei 2017 | 7:09pm

Tempat Nidzam terjamin bersama Kedah


Penolong Jurulatih Pasukan Bolasepak Kedah,Mohd Nidzam Adha Yusoff. - Foto NSTP/Amran Hamid

SHAH ALAM: Nidzam Adha Yusoff mendapat tonik terbaik menjelang aksi final melawan Pahang esok, apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan betapa khidmatnya akan dikekalkan sehingga musim depan andai berjaya membantu skuad Helang Merah menjulang trofi Piala FA.

Ketika ini, Nidzam, 46, hanya menjadi jurulatih sementara juara Piala FA pada 2008 itu bagi menggantikan penyandangnya, Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan itu pada awal bulan ini.

Kemungkinan itu disuarakan pengurus pasukan Kedah, Datuk Jeffrey Low yang berkata setakat ini berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Nidzam apatah lagi mereka begitu selesa bekerjasama dengan dia.

"Ia satu tugasan yang besar untuk Nidzam malam esok dan sudah tentu kami menaruh keyakinan terhadapnya untuk memenangi Piala FA.

"Buat masa ini kami belum memutuskan lagi perancangan seterusnya untuk dia tetapi apa yang pasti kami akan kekalkan dia kerana kontraknya masih berbaki lagi setahun.

"Tiada sebab untuk kami ketika ini mencari penggantinya kerana kami berasa selesa bekerjasama dengan dia dan pemain juga sama," katanya pada sidang menjelang aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Cheng Hoe dilepaskan KFA selepas beliau dilantik menjadi Penolong Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya  sekali gus menyaksikan Nidzam mengambil alih jawatan itu untuk sementara waktu.

Sejak tiga perlawanan di bawah kendalian Nidzam, Kedah mencatat keputusan memberangsangkan apabila menang dua aksi separuh akhir Piala FA ke atas Terengganu iaitu 1-0 dan 3-1, selain terikat 4-4 dengan PKNS FC pada aksi Liga Super.

93 dibaca
Berita Harian X