Isnin, 22 Mei 2017 - 11:42PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Saham KL ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menamatkan kejatuhan tiga hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi hari ini.

Keadaan itu didorong peningkatan keyakinan pelabur berikutan prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh pada suku pertama, di samping pemulihan dalam harga minyak mentah, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 1.11 mata lebih tinggi kepada 1,768.28 berbanding 1,767.17 ketika ditutup semalam.

Selepas dibuka 1.23 lebih tinggi kepada 1,768.40, indeks itu bergerak antara 1,767.89 dan 1,771.50 sepanjang hari.

Suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 623 berbanding 302 dengan 364 kaunter tidak berubah, 459 tidak diniaga dan 20 kaunter lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.27 bilion unit bernilai RM3.24 bilion berbanding 3.00 bilion unit bernilai RM2.64 bilion semalam.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan mantap 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.1 peratus pada suku sama tahun lalu, dirangsang permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh.

Pasaran serantau juga tinggi sedikit seiring dengan prestasi lebih baik Wall Street disebabkan data ekonomi Amerika Syarikat yang kukuh walaupun wujud ketegangan politik di negara berkenaan.

Saham AS pulih daripada jualan besar-besaran dua hari lalu, disokong oleh data ekonomi yang mantap.

Pemulihan dalam harga minyak mentah juga merangsang pasaran hari ini dengan minyak mentah Brent naik 28 cent kepada AS$52.79 setong dan minyak mentah AS meningkat 29 cent kepada AS$49.64 setong, berikutan peningkatan keyakinan yang negara pengeluar utama akan melanjutkan pemotongan pengeluaran bagi membendung lebihan minyak mentah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MISC susut empat sen kepada RM7.49, Digi.com menambah dua sen kepada RM5.01, KLCC jatuh tiga sen kepada RM7.80 dan IHH merosot dua sen kepada RM6.00. Bagi kaunter untung, PetDag menokok 68 sen kepada RM24.76, BAT naik 52 sen kepada RM45.78, Malaysian Pacific Industries meningkat 48 sen RM13.40, Bursa menambah 39 sen kepada RM10.38 dan Magni-Tech naik 35 sen kepada RM5.65.

Indeks Emas FBM meningkat 25.47 mata kepada 12,685.88, Indeks FBMT100 menokok 19.15 mata kepada 12,307.17 dan Indeks Syariah Emas FBM naik 17.13 mata kepada 13,0009.49. FBM 70 menambah 66.70 mata kepada 15,313.96 dan FBM Ace melonjak 171.23 mata kepada 6,601.71.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan meningkat 12.63 mata kepada 16,355.32, Indeks Perladangan menokok 8.11 mata kepada 8,066.00, tetapi Indeks Perusahaan turun 4.23 mata kepada 3,262.22.

Jumlah dagangan Pasaran utama meningkat kepada 2.09 bilion unit bernilai RM3.05 bilion berbanding1.85 bilion unit bernilai RM2.48 bilion semalam. - BERNAMA

- Foto BERNAMA

Trending

    Disyorkan