Jumaat, 19 Mei 2017 | 8:38pm

Minyak naik ke paras tertinggi sebulan

LONDON: Niaga hadapan minyak mentah pada Jumaat naik kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir sebulan berikutan peningkatan keyakinan bahawa negara pengeluar akan melanjutkan pemotongan pengeluaran bagi membendung lebihan bekalan.

Minyak mentah Brent meningkat 63 cent kepada AS$53.20. Kontrak sebelum ini naik ke paras tertinggi sejak 21 April dan berada di landasan tepat untuk mencecah peningkatan empat peratus minggu ini.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) naik 29 cent atau 0.6 peratus kepada AS$49.64 setong, tertinggi sejak 26 April.

Sejak awal Mac, harga minyak mentah berubah daripada lebih AS$56 setong kepada bawah AS$47 setong berikutan peserta pasaran berpecah akibat kesan daripada peningkatan pengeluaran daripada Amerika Syarikat (AS) berbanding pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar minyak lain, termasuk Russia.

Namun, pemerhati pasaran semakin yakin bahawa OPEC, Russia dan pengeluar lain akan melanjutkan pemotongan pengeluaran hampir 1.8 juta tong sehari sehingga akhir Mac 2018. - Reuters

Berita Harian X