Jumaat, 19 Mei 2017 | 8:50pm

Peminat bertuah naik bas dengan Alif Satar


ALIF Satar bergambar bersama peminat ketika menaiki bas KL Hop On Hop Off, petang tadi. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Dua puluh peminat bertuah berpeluang menaiki bas KL Hop On Hop Off bersama penyanyi dan pelakon, Alif Satar, petang tadi.

Peluang berharga berkenaan menjadi milik peminat terbabit sempena acara simbolik pelancaran jenama koleksi pakaian raya, Tradisi Alif Satar by Bon Zainal.

Mereka menaiki bas pelancong berkenaan dari Hotel Double Tree by Hilton menuju ke pusat beli-belah terkenal, KLCC.

"Saya membuka peluang untuk peminat sama-sama meraikan simbolik pelancaran baju Melayu ini dengan menaiki bas terbabit.

"Istimewanya juga, saya menjadi artis dan jenama tempatan pertama yang menghiasi iklan promosi bergerak pada bas KL Hop On Hop Off.

"Jadi, selepas ini jika ada ternampak bas ini di sekitar ibu kota, dengan gambar saya memakai baju Melayu terpampang padanya, jangan terkejut pula," seloroh pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu.

Menurut Alif, kerjasama baiknya dengan pereka fesyen, Bon Zainal, sudah lama terjalin.

"Begitupun, projek kerjasama kami kali ini dirancang pada minit akhir. Selalunya setiap kali berjumpa, kami sering bertanya, apa lagi yang boleh dilakukan bersama? Namun, semuanya tak menjadi kenyataan.

"Akhirnya, apa yang kami bualkan dulu 'menjadi' juga menerusi pengeluaran koleksi baju Melayu ini. Projek baju Melayu ini pula bukan untuk musim raya semata-mata, tetapi ia boleh digayakan pada setiap masa," katanya yang akan kembali mengacarakan program Clever Girl musim kedua di TV3, tidak lama lagi.

216 dibaca
Berita Harian X