Jumaat, 19 Mei 2017 | 11:11pm

Axiata jual pegangan dalam anak syarikat

KUALA LUMPUR: Axiata Investments (Cambodia) Ltd, anak syarikat telekomunikasi, Axiata Group Bhd menjual 10 peratus pegangan dalam Axiata (Cambodia) Holdings Ltd kepada Mitsui Co Ltd (Mitsui) dan syarikat sekutunya M&Y Asia Telecom Holdings Pte Ltd pada nilai AS$66 juta (RM285.15 juta).

Axiata (Cambodia) ialah syarikat pegangan Smart Axiata Co Ltd.

Dalam satu kenyataan, Axiata berkata, selepas transaksi itu ia akan memegang 82.5 peratus kepentingan dalam Smart Axiata.

"Mengikut perjanjian itu, Axiata memberi pilihan kepada Mitsui untuk membeli tambahan 10 peratus pegangan, boleh dilaksana dalam tempoh 12 bulan selepas selesai transaksi. Transaksi itu dijangka selesai menjelang akhir Mei 2017, " kata Axiata.

Katanya, perjanjian itu memenuhi strategi pengurusan portfolio kumpulan dan membawa nilai kewangan untuk Axiata dan pemegang sahamnya dengan hasil dirancang untuk tujuan am korporat serta pembayaran balik hutang sedia ada.

"Jualan pegangan minoriti itu membantu Axiata mengimbangkan semula portfolio kumpulan selain mengekalkan penguasaan majoriti dalam Smart.

"Transaksi itu juga memberi nilai kepada pemegang saham Axiata melalui pulangan sihat pelaburannya dalam Smart dan meningkatkan kedudukan kunci kira-kira Axiata," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, kerjasama strategik dengan Mitsui juga akan menyokong usaha pertumbuhan Smart, terutama dalam bidang perkhidmatan digital dan internet perkara dan wawasan syarikat menjadi juara digital generasi baharu.

Katanya, dengan kerjasama Mitsui, Smart berupaya menawarkan perkhidmatan digital canggih yang akan melonjakkan ekonomi digital Kemboja.

"Kami berharap dapat memanfaatkan sinergi daripada kerjasama strategik ini. Sebagai pelabur jangka panjang dengan portfolio yang pelbagai di rantau ini, kami terus mengkaji pelbagai pilihan bagi mengoptimumkan peruntukan modal, kunci kira-kira dan struktur kumpulan, termasuk potensi penggunaan rakan kongsi strategik bagi menyokong pertumbuhan, " katanya.

Jamaludin berkata, Axiata terus komited untuk mengekalkan pegangan majoriti dalam Smart.

"Ia adalah syarikat yang sentiasa mengatasi pesaing dengan penyelesaian produk inovatif dan kawalan kos yang berkesan," katanya.

BERNAMA

38 dibaca
Berita Harian X