Sabtu, 20 Mei 2017 | 12:27am

6 beradik penyanyi Prince diisytihar pewaris harta


GAMBAR fail, penyanyi Prince mengadakan persembahan pada satu konsert di Stadium Parc des Princes, Paris pada Jun 1990. - Foto AFP

NEW YORK: Hakim Minnesota semalam, memutuskan enam adik beradik penyanyi Prince sebagai pewaris kepada kekayaannya, langkah penting dalam krisis berpanjangan berhubung harta milik legenda pop berkenaan.

Kevin Eide, hakim di daerah Carver, lokasi Prince meninggal dunia secara mengejut tahun lalu di kediamannya, Paisley Park, berkata pewaris bintang 'Purple Rain' itu ialah kakaknya, Tyka Nelson dan lima adik beradik mereka.

"Pewaris kekayaannya ialah Omarr Baker, Alfred Jackson, Sharon Nelson, Norrine Nelson, John R Nelson dan Tyka Nelson," menurut perintah itu.

Secara praktikal, perintah itu tidak akan segera menyerahkan kekayaan Prince, yang dianggarkan bernilai sehingga AS$300 juta (RM1.2 bilion), kepada adik beradiknya.

Sebaliknya, ia memulakan proses setahun yang membolehkan sesiapa yang mendakwa mempunyai hubungan penyanyi itu masih boleh mengemukakan rayuan tetapi ditolak jika hakim tidak menerima kes mereka.

Keputusan dikeluarkan sembilan hari selepas sesi pendengaran yang menyaksikan adik beradik bintang pop itu mendesak penyelesaian dibuat dan beberapa bulan dakwaan dikeluarkan pihak yang mengaku keturunan Prince.

AFP

77 dibaca
Berita Harian X