Isnin, 22 Mei 2017 - 11:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Iran lanjutkan proses pengundian


Calon Presiden Iran Ebrahim Raisi (tengah) bersalaman dengan penyokong sejurus meninggalkan tempat mengundi bagi pilihan raya presiden di sesuatu tempat mengundi di selatan Tehran. - Foto AFP

TEHRAN: Proses pengundian dilanjutkan di Iran semalam, apabila pengundi keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya presiden kali ini.

Persaingan menemukan Presiden Hassan Rouhani yang cuba membina semula hubungan dengan dunia dan memulihkan kelembapan ekonomi dengan ulama konservatif, Ebrahim Raisi, 56.

Rouhani, ulama berhaluan sederhana yang menerajui perjanjian nuklear pada 2015 dengan kuasa dunia, menyifatkan pilihan raya itu sebagai pilihan antara kebebasan sivil lebih baik dan 'ekstremisme'.

Beliau berhadapan saingan sengit daripada Raisi, yang meletakkan dirinya sebagai penyelamat penduduk miskin dan mahu lebih bertegas dengan Barat.

Dengan barisan panjang masih dilihat di pusat pengundian, pihak berkuasa melanjutkan proses pemilihan sehingga lewat petang, dengan penyokong presiden menggesa pengundi terus menunggu atau mencari pusat pengundian yang lebih lengang.

"Penyertaan penuh semangat rakyat Iran pada pilihan raya mengukuhkan kuasa dan keselamatan negara, " kata Rouhani ketika membuang undi di Tehran.

Menjelang jam 8.00 waktu tempatan, agensi melaporkan 30 juta penduduk lebih separuh daripada pengundi berdaftar, sudah membuang undi masing-masing.

Namun pasukan kempen Raisi sudah merungut mengenai cara pengendalian pilihan raya sebelum undian ditutup, berkata ada beratus-ratus tindakan propaganda dilakukan penyokong Rouhani di pusat pengundian, yang dilarang menurut undang-undang pilihan raya.

AFP


Trending

    Disyorkan