Sabtu, 20 Mei 2017 | 12:57am

Hakimi, Jun Hoong dipilih Olahragawan, Olahragawati Perak


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua kiri) berbual mesra dengan penerima Anugerah Olahragawan Perak 2015/2016, Atlet Lompat Kijang, Muhammad Hakimi Ismail (dua kanan) sambil diperhatikan Cheong Jun Yeng yang mewakili Atlet Terjun, Cheong Jun Hoong yang menerima Anugerah Olahragawati Perak 2015/2016 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (kanan). - Foto NSTP/Muhaizan Yahya

IPOH: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail dan penerjun negara, Cheong Jun Hoong masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak bagi 2015/2016.   

Muhammad Hakimi dipilih hasil kejayaannya meraih pingat emas pada Terbuka Sukan Komanwel Singapura 2016 manakala Jun Hoong pula memenangi pingat perak acara 10m platform seirama pada Sukan Olimpik Rio 2016. 

Kemenangan itu membolehkan mereka masing-masing menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai RM7,000 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada majlis Anugerah Sukan Perak di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.  

Ketika ditemui, Muhammad Hakimi, 26, berasal dari Taiping berkata pemilihannya sebagai olahragawan negeri menjadi satu pemangkin semangat untuk lebih berjaya pada masa depan bagi mengharumkan nama negara dan negeri.

"Anugerah ini mendorong lagi semangat saya untuk fokus pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi meraih pingat emas, selain layak Kejohanan Dunia di London pada Ogos nanti," katanya.     

Anugerah buat Jun Hoong pula diterima oleh adik perempuannya, Jun Yeng berikutan dia masih berada di China untuk persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, penembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak dipilih sebagai Olahragawan Harapan manakala Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri pula sebagai Olahragawati Harapan.   

Bagi Anugerah Keluarga Sukan ia diterima oleh bekas atlet tenpin bowling, Badrul Hamidi Gam susulan kejayaan dua anaknya Syaidatul Afyna dan Syaidatul 'Afifah yang turut berjaya dalam sukan berkenaan.   

Bagi Pasukan Terbaik, ia dimenangi oleh ragbi Perak susulan kejayaan merangkul pingat emas pada Kejohanan Ragbi Piala Agong dan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan pada 2016.    

Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan Pasukan 4x100M wanita SUKMA Sarawak pula menerima Anugerah Khas Kecemerlangan 2015/2016.   

Anugerah Kepimpinan Sukan pula dimenangi oleh jurulatih dan pentadbir olahraga Perak, Tang Choo Meng manakala Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada bekas jurulatih kebangsaan 1981-2015, K Jayabalan.    

Sementara itu, bagi Anugerah Jasamu Dikenang, ia dimenangi oleh bekas atlet tenpin bowling, Shirley Chow Chew Chun.

46 dibaca
Berita Harian X