Rabu, 28 Jun 2017 - 6:21AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Wajah baharu Stadium Nasional pukau orang ramai


Suasana baru di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan bola sepak sempena Hari Komuniti Bola Sepak hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keunikan dan kecanggihan struktur terkini Stadium Nasional Bukit Jalil yang dinaik taraf sempena temasya Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) mendapat reaksi positif dari orang ramai.

Pembangunan semula stadium berkenaan yang juga sebahagian daripada projek bagi mewujudkan Bandaraya Sukan KL ternyata memukau hampir 1,000 penonton yang hadir pada Hari Komuniti Bola Sepak yang berlangsung hari ini.

Seorang kakitangan awam, Ahmad Amairuddin Haidi, 39, menyifatkan wajah baharu stadium yang pernah menyaksikan atlet bertaraf dunia bersaing pada temasya sukan berprestij Sukan Komanwel 1998 itu setanding dengan stadium antarabangsa lain.

"Saya rasa seperti berada di sebuah stadium yang terletak di luar negara. Reka bentuknya yang baharu ini kelihatan seperti Allianz Arena di Munich, Jerman dan saya sebagai rakyat Malaysia sangat berbangga untuk bercerita mengenai stadium ini," katanya.

Nurul Azimah Suhaimy, 33, seorang suri rumah pula berkata hiasan lampu LED berwarna-warni yang terdapat di sekeliling stadium adalah antara kegemarannya.

"Hiasan lampu LED berwarna-warni di sekeliling stadium di waktu malam sangat memukau pandangan saya, malah anak-anak juga sering menjerit kegembiraan apabila melihat ia mampu bertukar-tukar warna ketika saya memandu melintasi stadium ini," kata ibu kepada dua anak itu.

Dalam pada itu seorang pemain pasukan kelab Majidee 83 FC, Al-Saiful Azhar, 34, memuji kualiti rumput selain menyifatkan peluang beraksi di venue rasmi Harimau Malaya itu adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan.

"Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila dapat beraksi di venue rasmi skuad kebangsaan ini.

"Kualiti rumput memuaskan dan tidak mudah tercabut, namun keadaan padang sedikit keras mungkin disebabkan masih baharu dan belum pernah digunakan, " katanya.

Turut hadir pada Hari Komuniti itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung serta pemain bola sepak amatur yang terpilih untuk mengadakan perlawanan persahabatan di stadium berkenaan.

Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menerusi anak syarikatnya Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB) dilantik oleh kerajaan untuk membangunkan projek Bandaraya Sukan KL manakala pakar stadium antarabangsa, Populous pula dipilih sebagai pereka projek.

Projek pembangunan semula itu dilaksanakan secara berperingkat iaitu fasa pertama yang bermula sejak Januari 2016 dan dijangka siap menjelang temasya Sukan SEA, manakala fasa kedua akan bermula pada Januari 2018.

Fasa kedua bakal menyaksikan Bandaraya Sukan KL dijadikan hab sukan bersepadu merangkumi infrastruktur berkelas dunia termasuk kemudahan latihan berprestasi tinggi, pusat pemulihan sains sukan, taman belia, kemudahan awam, pusat konvensyen dan pusat beli-belah.

BERNAMA


Trending

    Disyorkan