Sabtu, 24 Jun 2017 - 6:22AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kekalkan hubungan baik penyokong Kedah, Pahang

Oleh Izzali Ismail



Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri.

ALOR SETAR: Hubungan baik penyokong Kedah dan Pahang yang terjalin selama ini diharapkan mampu menghasilkan semangat kesukanan yang tinggi dalam melahirkan sokongan kepada pasukan masing-masing di pentas final Piala FA, malam ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri, berkata pihaknya tidak mahu ada mana-mana pihak yang cuba merosakkan semangat serta hubungan itu dengan melakukan tindakan luar dugaan dan merosakkan imej penyokong tempatan.

"Di sebalik keghairahan dalam memberi sokongan, kami berharap semua pihak dapat meneruskan tradisi harmoni dan penuh semangat kesukanan.

"Jangan ada provokasi melampau yang mampu mengeruhkan keadaan hubungan baik penyokong Helang Merah dan Tok Gajah.

"Kita... Pahang dan Kedah memang mempunyai perhubungan yang baik, malah saling menghormati.

"Sebagai penyokong Kedah, kami mahukan semua penyokong bersikap matang dalam memberi sokongan dan elakkan sebarang provokasi. Pastikan segala peraturan dan tatatertib di dalam stadium dipatuhi," katanya.

JUFC adalah antara puluhan ribu penyokong Kedah yang akan memenuhi Stadium Shah Alam malam ini untuk menyaksikan pertembungan antara skuad bimbingan Dollah Salleh dan Nidzam Adzha Yusoff.

Kedah mara ke pentas final selepas membenam Terengganu dengan agregat 4-0 di saingan separuh akhir manakala Pahang membenam Negeri Sembilan, 3-2.

Berdasarkan prestasi semasa, Mohd Safarizal yakin pasukan kesayangannya mampu menjulang Piala FA kali ini, selepas kali terakhir trofi rebutan itu dibawa pulang ke Kedah pada 2008.

"Apa yang kami harapkan ialah satu persembahan yang hebat dari pasukan Kedah dan sorakan penyokong Hijau Kuning di Stadium Shah Alam nanti mampu membakar semangat pemain memburu kejayaan.

"Ini bukan saja soal Piala FA, tetapi juga detik terbaik untuk Kedah melangkah lebih jauh ke pentas Asia Tenggara," katanya yang begitu mengharapkan sorakan 'Kedah pantang kalah' dan 'Biar Jasa Jadi Kenangan' menjadi tonik terbaik kepada pemain.


Infografik

Trending

    Disyorkan