Sabtu, 20 Mei 2017 | 7:33am

Thiem singkir Nadal di gelanggang tanah liat


Dominic Thiem meraikan kejayaan selepas menumpaskan Rafael Nadal pada Masters Rom, awal pagi tadi. - Foto EPA

ROM: Pemain Austria, Dominic Thiem menyingkirkan Rafael Nadal daripada pentas Masters Rom, awal pagi tadi, menerusi kemenangan 6-4, 6-3 di suku akhir, sekali gus menamatkan deretan 17 kemenangan jaguh Sepanyol itu.

Nadal yang juga juara tujuh kali di ibu kota Itali itu berjaya mendominasi Thiem ketika final Masters Madrid, minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun yang juga pilihan keempat kejohanan dan dalam persiapan memburu gelaran ke-10 Terbuka Perancis itu gagal mengekang asakan lawan sepanjang aksi di gelanggang utama.

Thiem - pilihan kelapan dijadual bertemu pemenang antara juara empat kali, Novak Djokovic yang juga pilihan kedua atau jaguh Argentina, Juan Martin del Potro.

Pertembungan kedua-dua pemenang Grand Slam itu ditangguhkan berikutan hujan lebat ketika Djokovic mendahului permainan 6-1, 1-2 sebelum permainan dihentikan.

Dalam pada itu, Nadal berkata dia mahu mendapatkan masa rehat pada hujung minggu ini sebelum membuat persiapan menghadapi Roland Garros, bermula Isnin.

"Esok saya akan berada di Mallorca untuk memancing atau bermain golf, atau melakukan perkara lain. Saya akan berehat sedikit, saya fikir saya berhak untuk mendapatkannya," kata Nadal.

"Kemudian bermula Isnin dan Selasa, saya akan mula bersedia untuk Roland Garros. Ia kejohanan yang penting bagi saya.

"Jika kamu membuat persiapan yang baik, kamu memiliki lebih peluang di Roland Garros. Saya berharap untuk menampilkan permainan terbaik saya di sana."

Sementara itu, pemain Jerman berusia 20 tahun, Alexander Zverev melangkah ke separuh akhir Masters pertamanya menerusi kemenangan 7-6 (7/4), 6-1 ke atas pemain Kanada yang juga pilihan kelima, Milos Raonic.

Dia dijadual bertemu pemain bukan pilihan, John Isner yang menyingkirkan pemain pilihan keenam dari Croatia, Marin Cilic 7-6 (7/3), 2-6, 7-6 (7/2) dalam satu lagi suku akhir. - AFP

Berita Harian X