Sabtu, 20 Mei 2017 | 10:20am

Piala FA: Penyokong Tok Gajah mula 'serbu' Shah Alam


ANTARA penyokong Pahang bertolak dari Stadium Darul Makmur dengan menaiki beberapa buah bas bagi memberi sokongan kepada skuad Tok Gajah dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Kedah di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Penyokong Pahang mula bergerak dari seluruh daerah untuk ke Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Pahang dan Kedah, malam ini.

Mereka jelas bersemangat bagi memberikan sokongan untuk skuad Tok Gajah bagi merealisasikan misi memenangi piala berprestij itu yang kali terakhir dimenangi pada 2014.

Tinjauan BH Online mendapati mereka bergerak secara berperingkat seawal jam 7 pagi tadi dengan menaiki bas disewa khas dan kereta persendirian. Perjalanan dari Kuantan ke Shah Alam dianggarkan memakan masa kira-kira tiga jam.

Di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, ratusan penyokong Tok Gajah berkumpul untuk menaiki bas, antaranya Kelab Penyokong Laksamana Tok Gajah serta kelab penyokong yang lain.

Wakil kepada kelab penyokong pasukan Pahang, Mohd Jusri Abd Kadir, berkata kebanyakan penyokong bergerak secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

"Untuk kumpulan ini, kita bergerak dari Kuantan dan singgah di Temerloh sebelum berhenti di Seksyen 15 Shah Alam di mana ada aktiviti khas akan disediakan.

"Selepas itu, kita akan bergerak ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan," katanya yang menjangka keputusan 2-1 berpihak kepada Pahang.

Mohd Jusri turut menasihatkan supaya semua penyokong tidak mencetuskan provokasi sehingga menimbulkan ketegangan pada perlawanan itu.

"Ia hanya bola sepak dan sepatutnya menjadi medium perpaduan antara semua tanpa mengira penyokong dari pasukan mana," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X