Sabtu, 20 Mei 2017 | 2:11pm

Bukan tugas SPR semak status kewarganegaraan calon

PASIR GUDANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bukan tugas atau tanggungjawab pihaknya untuk menjalankan semakan status kewarganegaraan membabitkan calon yang bertanding pada pilihan raya.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata tugas hakiki SPR bertumpu kepada tiga perkara, antaranya bertanggungjawab menjalankan proses pilihan raya seperti diamanahkan Yang di-Pertuan Agong.

"Tugas kedua SPR ialah menjalankan persempadanan semula setiap lapan tahun sekali dan ketiga ialah menjalankan pendaftaran pengundi.

"Bukan tugas SPR untuk menjalankan semakan status kewarganegaraan calon yang bertanding pilihan raya, sebaliknya ia tugas parti politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Singgah Mesra #Jom Kita Daftar Undi, di Pasar Borneo Johor di sini, hari ini. 

Pada Jumaat lalu, wakil rakyat DAP di Sarawak, Dr Ting Tiong Choon, dipecat selepas usul untuk melucutkan keanggotaannya dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh, pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Usul itu dibentangkan kerana kesetiaan Dr Tiong Choon kepada negeri dan negara dipertikaikan berikutan beliau memiliki kewarganegaraan Australia dan mendaftar sebagai pengundi di negara itu.

Pemecatan itu dibuat kerana didapati dengan jelas beliau melanggar peruntukan yang dinyatakan dalam Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

175 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »