Rabu, 24 Mei 2017 | 11:14pm

Saya tak akan berjaya di Bollywood - Brad Pitt


PELAKON terkenal Brad Pitt. - Foto AP

MUMBAI: Pelakon terkenal Brad Pitt, membuat pengakuan kepada aktor tersohor, Shah Rukh Khan, bahawa beliau tidak cukup berbakat membintangi filem Bollywood ketika mempromosikan filem terbarunya, 'War Machine' di Mumbai hari ini.

"Saya tidak akan berjaya di Bollywood kerana tidak boleh menari atau menyanyi," kata aktor kacak itu dalam satu acara dengan Shah Rukh di depan wartawan di bandar raya itu.

Filem Bollywood terkenal dengan adegan tarian dan nyanyian.

Shah Rukh, sebaliknya membalas dengan memberitahu Pitt beliau boleh belajar pergerakan itu dengan mudah.

"Kami boleh membuatkan semua orang boleh menari. Saya cuma mendepakan tangan dan tidak berbuat apa pun, itu juga satu rentak tari," kata aktor yang dikenali dengan gelaran King Khan.

Pitt yang baru-baru ini berpisah dengan aktres Angelina Jolie, tiba di Mumbai dari Jepun awal hari ini untuk persinggahan terkini siri jelajah mempromosikan filem Netflix, War Machine. - AFP

275 dibaca
Berita Harian X