Khamis, 25 Mei 2017 | 3:37pm
RESTORAN Teratak, di Glo Damansara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ULAMAN di Restoran Teratak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
LAKSA di Restoran Teratak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MASAK lemak telur itik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
AYAM goreng berempah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANTARA yang dijual di Restoran Teratak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Lebih 30 menu masakan kampung di Restoran Teratak


PENUBUHAN Restoran Teratak untuk mempopularkan semula sajian tradisional. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

PETALING JAYA: Ketika sebilangan penduduk ibu kota mencari cita rasa sajian fusion, berlainan pula dengan Restoran Teratak, di Glo Damansara, apabila memperkenalkan lebih 30 menu masakan kampung hasil resipi tradisional keluarga.

Menu istimewa restoran itu dan jarang ditemui di mana-mana tempat ialah rendang betik dihiris halus resipi dari Negeri Sembilan, hasil air tangan Pengasas dan Ketua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Teratak Nor Resources Sdn Bhd, Nor Aini Kamaruddin, mampu menambat selera.

Katanya, penubuhan restoran untuk mempopularkan semula sajian tradisional khususnya negeri tempat kelahirannya, Johor, selain mengimbau kelazatan masakan ibunya, Hafadzah Abdullah, 79.

"Saya lihat hidangan fusion lebih popular sekarang. Agak sukar mencari sajian kampung di sekitar ibu kota. Oleh itu, saya mengetengahkan sajian masakan kampung hasil resipi ibu saya supaya tidak luput di telan zaman.

"Restoran ini menyediakan lebih 30 menu iaitu laksa Johor, kuzi daging atau kambing, nasi beringin, asam pedas ikan jenahak, masak lemak telur itik, rendang betik NS, ayam goreng berempah dan banyak lagi," katanya ketika ditemui semalam.

Restoran yang baharu beroperasi sejak lapan bulan lalu dan terletak di kawasan strategik terletak di tingkat bawah pusat-beli belah Glo Damansara, turut dikelilingi pejabat dan kawasan kediaman menjadikan ia lokasi sesuai orang ramai mengunjunginya.


RESTORAN Teratak beroperasi sejak lapan bulan lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

NOR Aini bersama suami, Ismail di Restoran Teratak milik mereka di Glo Damansara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nor Aini yang mengusahakan restoran itu bersama suaminya, Ismail Mohd Daud, berkata laksa Johor dan kuzi daging atau kambing disediakan mengikut resipi yang diperturunkan oleh ibunya ibu yang berasal dari Muar, Johor.

Restoran ini juga menawarkan aneka hidangan iaitu ayam masak merah, rendang ayam, masak lemak daging salai, kari daging, sup tulang, sup sayur dan sebagainya yang sedap dinikmati bersama pilihan hidangan sampingan seperti kangkung belacan, masak lemak pucuk ubi, ulam-ulaman bersama sambal belacan dan banyak lagi.

Hidangan pencuci mulut, popiah goreng dinikmati bersama sos istimewa, gado-gado dan kerabu mangga manakala, pencuci mulut mengemukakan bubur pulut hitam, bubur kacang hijau, ais krim goreng dengan sos coklat, sago gula Melaka, pengat pisang, kuih tradisional Melayu dan banyak lagi.

Bufet Ramadan

Nor Aini berkata, sempena Ramadan ini, beliau menyediakan tujuh menu untuk hidangan bufet yang berbeza setiap hari kecuali laksa Johor sajian tetap sepanjang bulan puasa ini.

Antara menu dihidangkan ialah nasi Johor, sup tulang, masak lemak labu, masak lemak telur itik, laksa utara dan ikan kurau ditumbuk halus.

Pakej bufet berharga RM35 untuk dewasa, kanak-kanak RM20 manakala percuma kanak-kanak bawah enam tahun.

Info
Restoran Teratak:

  • Terletak di Aras G23A, Glo Damansara, Jalan Damansara Lama
  • Lebih 30 jenis masakan kampung
  • Waktu operasi 10 pagi hingga 10 malam
  • Sepanjang Ramadan operasi bermula 12 tengah hari hingga 10 malam


MENU istimewa Restoran Teratak dan jarang ditemui di mana-mana tempat ialah rendang betik dihiris halus. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

4768 dibaca
Berita Harian X