Khamis, 25 Mei 2017 | 11:14pm

NPOMA sedia bantu 100,000 pekebun kecil sawit

IPOH: Persatuan Kilang Buah Sawit Utara Semenanjung Malaysia (NPOMA) sedia membantu kira-kira 100,000 pekebun kecil dalam industri sawit negara mematuhi persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) sebelum tempoh mandatori ditetapkan kerajaan pada 31 Disember 2019.

 

Presiden NPOMA, Steven Yow, berkata kebanyakan pekebun kecil di negara ini terutama di Perak dan Kedah tidak menyedari kepentingan pematuhan sijil berkenaan.

 

Katanya, bagi mengeksport minyak sawit, penggiat industri sawit termasuk pekebun kecil, pemilik ladang kelapa sawit dan pengilang perlu mematuhi sijil berkenaan sebagai langkah meningkatkan kualiti minyak sawit dan produk berasaskan sawit selain membolehkan produk keluaran tempatan itu dieksport ke negara Kesatuan Eropah (EU).

"Berdasarkan pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mapan (RSPO), sekiranya kita tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, kita tidak mampu mengeksport produk sawit kita ke peringkat antarabangsa terutama ke negara Eropah.

 

"Perkara itu memberi masalah kepada pelbagai pihak dalam industri berikutan kira-kira 90 peratus minyak sawit kita dieksport selain kira-kira dua juta tenaga kerja dalam industri itu terjejas," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Minyak Sawit anjuran NPOMA bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini.

Yow berkata, susulan pengumuman berhubung pelaksanaan pensijilan itu, pihaknya yang turut dibantu MPOB dan MPOC tampil memberi bantuan kepada pekebun kecil di Kedah dan Perak bagi mematuhi skim pensijilan berkenaan.

 

"Kita mempunyai 18 ahli di Perak serta Kedah dan kita mahukan semua pekebun kecil yang mempunyai ladang kelapa sawit meskipun seluas empat hektar mematuhi pensijilan MSPO.

 

"Seminar berkenaan lebih bertumpu kepada kesedaran untuk mendapatkan sijil MSPO namun bagi sesi latihan seterusnya, NPOMA sedia membantu termasuk dari segi bantuan pembajaan dan tenaga malah pihak MPOB dan MPOC sendiri turut memberi bantuan dari segi khidmat nasihat dan perkara lain," katanya.

465 dibaca
Berita Harian X