Jumaat, 26 Mei 2017 | 7:52pm

Pek berbuka untuk pengguna LPT


- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengendali konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Bhd mengedarkan 20,000 pek kurma secara percuma kepada pengguna sepanjang Ramadan bermula esok.

Pek kurma akan diedarkan setiap hari di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak bermula jam 7 malam hingga 7.45 malam.

Turut diedarkan 3,000 pek juadah makanan percuma di kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih iaitu menerusi kaunter pandu lalu khas di R&R Genting Sempah pada 2 dan 16 Jun, manakala di R&R Temerloh pada 9 Jun ini.

Pengarah ANIH, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata juadah dan pek makanan percuma itu adalah inisiatif syarikat untuk berkongsi keberkatan Ramadan selain merapatkan ukhuwah serta tanda penghargaan kepada pengguna LPT.

"Sudah menjadi tradisi ANIH untuk mengedarkan pek penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada pengguna LPT setiap kali tibanya Ramadan.

"Berbeza tahun sebelumnya, tahun ini kami melakukan sedikit perubahan dengan memberi kurma dan juadah berbuka kepada pengguna yang tidak sempat sampai ke destinasi untuk berbuka puasa. Ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pengguna lebuh raya ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pek juadah berbuka mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma akan diedarkan bermula jam 6.30 petang hingga 7.45 malam.

Katanya, pek juadah berbuka adalah inisiatif kali pertama syarikat konsesi yang disediakan khas oleh pemilik gerai R&R dengan setiap lokasi diperuntukkan 1,000 unit pek.

ANIH juga tidak melupakan golongan memerlukan terutama anak yatim dan golongan tidak berkemampuan untuk sama-sama menghayati Ramadan dengan memberi sumbangan RM5,000 untuk juadah moreh kepada 10 surau dan masjid di sepanjang jajaran KLK dan LPT 1.

Selain itu, sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat, syarikat turut menyumbang RM2,000 untuk pelajar dan kakitangan Maahad Tahfiz Muhammadi di Kuantan untuk juadah berbuka puasa.

"Program seperti ini sudah menjadi aktiviti berterusan dan ia adalah cara kami menyumbang semula kepada masyarakat, sekali gus merapatkan hubungan antara syarikat korporat dengan masyarakat," katanya.

125 dibaca
Berita Harian X