Ahad, 28 Mei 2017 | 12:29pm

MCA Johor buka bilik gerakan mulai 30 Jun 


TIMBALAN Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Khairunisah Lokman

JOHOR BAHRU: Semua bilik gerakan MCA seluruh Johor akan dibuka menjelang 30 Jun ini sebagai persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat bersama kepemimpinan parti di peringkat negeri itu yang berlangsung selama tiga jam, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Johor berkata, bilik gerakan yang dibuka itu akan diarah melakukan segala bentuk persediaan, latihan dan penambahbaikan jentera bagi berdepan PRU14 yang dijangka tidak lama lagi.

"Semalam, MCA Johor mengadakan mesyuarat selama kira-kira 3 jam bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung persediaan PRU 14.

"MCA Johor menjadi antara negeri yang sudah rancak dalam melakukan pelbagai perancangan dan persiapan (menghadapi PRU14)," katanya. 

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Selatan Malaysia (KUSMA) ke-26, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, MCA Johor akan membariskan barisan calon campuran yang terbaik iaitu gabungan muka baharu dan calon lama pada PRU14.

"Kita (MCA Johor) tidak mahu analisis soal calon baharu atau lama, berapa kerusi kita mahu rampas, tetapi kita bercerita perkara realistik, buat kerja dahulu baru cerita soal keputusan," katanya.

222 dibaca
Berita Harian X