Isnin, 29 Mei 2017 | 6:36pm

Lori, kereta bertembung, 1 maut


KEADAAN kereta dan mangsa yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, Kuala Pilah, hari ini. - Foto Amran Yahya

KUALA PILAH: Seorang wanita berusia 40-an maut, manakala lima lagi dipercayai ahli keluarganya cedera, apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori, berhampiran Bukit Putus, di sini.

Wanita terbabit yang tersepit di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris, berkata tiga jentera dengan 25 anggota, dihantar ke lokasi kejadian.

"Ketika bomba tiba, pemandu dan penumpang belakang kereta yang dalam perjalanan ke Kuala Pilah itu masih tersepit. Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mereka.

"Pemeriksaan pasukan perubatan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia, manakala pemandu iaitu seorang lelaki dianggarkan berusia 30-an cedera parah.

"Mereka dan seorang lagi penumpang wanita yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban," katanya

Beliau berkata, pemandu lori serta tiga lagi penumpang kereta itu yang cedera dihantar oleh orang awam ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Mohamad berkata, identiti semua mangsa belum dikenal pasti dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

315 dibaca
Berita Harian X