Ahad, 4 Jun 2017 | 10:04pm

Soon Huat-Shevon tewas di Bangkok


GOH Soon Huat-Shevon Lai Jamie

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie untuk merekodkan gelaran antarabangsa ketiga mereka tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi final Terbuka Thailand di Bangkok, sebentar tadi.

Pasangan ke-33 dunia itu terpaksa akur apabila tunduk di tangan beregu China, He Jiting-Du Yue 13-21, 21-16, 12-21 dalam tempoh 56 minit.

Sebelum ini, Soon Huat-Shevon yang mula digandingkan pada tahun lalu muncul juara pada Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Scotland 2016. Mereka juga muncul naib juara pada saingan Malaysia Masters, Januari lalu.

Walaupun tewas, pujian tetap wajar diberikan kepada Soon Huat-Shevon yang melakar kejutan ketika menumbangkan pilihan pertama dari Thailand - pasangan kesembilan dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam aksi separuh akhir, semalam.

Ia seharusnya memberi petanda positif kepada kem skuad badminton negara menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan dengan misi memburu pingat emas menjadi fokus utama.

112 dibaca
Berita Harian X