Khamis, 8 Jun 2017 | 12:35pm

FGV: SPRM tubuh pasukan khas siasatan


PEGAWAI dan anggota SPRM tiba di Menara Felda jam 10 pagi tadi dipercayai untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Sumber berkata, penubuhan pasukan khas itu selepas suruhanjaya berkenaan mendapat maklumat daripada pengurusan tertinggi FGV semalam.

Difahamkan, pasukan khas yang dianggotai lebih 20 pegawai dan anggota itu diketuai sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki.

Malah sebentar tadi, sepasukan 25 pegawai dan anggota SPRM dilihat tiba di Menara FELDA dipercayai untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap FGV.

Mereka tiba di pekarangan bangunan itu pada jam 10 pagi sebelum menaiki lif ke pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV di tingkat 45.

Mereka turut dilihat membawa lebih lima beg untuk mengisi dokumen.

Lobi menara FELDA dipenuhi puluhan wartawan dari pelbagai agensi termasuk dalam dan luar negara.

Semalam, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang dipaksa bercuti oleh lembaga pengarah, memberi keterangan berhubung dakwaan terhadapnya mengenai isu tunggakan bayaran Syarikat Safitex kepada Delima Oil Product, pejabat SPRM Putrajaya.

Beliau juga difahamkan turut menyerahkan beberapa dokumen namun enggan mengulas ketika ditanya berhubung siasatan SPRM.

28 dibaca
Berita Harian X