Jumaat, 9 Jun 2017 | 10:36am

DIGITORIAL: Melangkah ke hadapan bersama MSPO

Isu alam sekitar bukanlah domain tunggal negara-negara maju. Malaysia mungkin sebuah negara yang kecil tetapi kita memainkan peranan yang besar melalui komitmen dan pelaksanaan untuk memerangi pemanasan global.

Saya agak kecewa dengan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris kerana sebagai negara pencemar kedua terbesar dunia, kepimpinan AS adalah penting. Walau bagaimanapun, keputusan ini mengukuhkan lagi pendirian negara-negara lain, terutama China dan India dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Selaku negara peserta Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi Protokol Kyoto yang dirundingkan pada tahun 1997, dan pada tahun 2009, Perdana Menteri kita terus komited kepada pengurangan secara sukarela sehingga 40 peratus intensiti gas rumah hijau (GHG) bagi setiap unit Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) menjelang tahun 2020 ketika Persidangan Pihak-Pihak (COP) Ke-15 di Copenhagen.

Kita juga adalah salah satu daripada 195 negara yang menandatangani dan antara 148 negara meratifikasi Perjanjian Paris yang dipersetujui ketika COP 21 pada tahun 2015, di mana kita komited untuk mengurangkan sehingga 45 peratus intensiti pelepasan GHG bagi setiap unit KDNK menjelang tahun 2030. Sehingga tahun 2015, kita sudah merekodkan sehingga 33 peratus pengurangan.

Biarpun komitmen dan rekod pencapaian kita kukuh, industri kelapa sawit disalah anggap dan dikecam sebagai petualang kepada pemanasan global. Ini tidak benar sama sekali.

Metana GHG paling berbahaya

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS menyatakan metana menyebabkan kepada 16 peratus pelepasan GHG, dengan hasil pengeluaran karbon dioksida terutama melalui penggunaan bahan api fosil serta proses industri mencatatkan kadar tertinggi iaitu sebanyak 76 peratus. Bagaimanapun metana secara kasarnya adalah 30 kali lebih kuat sebagai gas pemerangkap haba berbanding karbon dioksida, menjadikannya salah satu penyebab utama kepada pemanasan global.

Apakah yang menghasilkan metana? Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata 1.5 bilion lembu yang berkeliaran di Bumi membawa kepada 65 peratus pelepasan metana ternakan. Metana ialah hasil sampingan apabila lembu sendawa yang juga sebahagian penghadaman makanannya.

Ternakan punca sebenar penebangan hutan

Bukan sahaja ternakan, termasuk lembu, yang menjana kepada pemanasan global GHG, ia juga adalah punca utama yang menyebabkan penebangan hutan berleluasa. Pada 3.45 bilion hektar, padang rumput merangkumi 69 peratus daripada tanah pertanian global, yang berjumlah 5 bilion hektar. Sebagai perbandingan, keluasan ladang kelapa sawit berjumlah 18.87 juta hektar atau 0.38 peratus daripada tanah pertanian global. Keluasan ladang kelapa sawit Malaysia hanya 0.11 peratus daripada tanah pertanian global iaitu seluas 5.74 juta hektar.

Jelas sekali, sebahagian besar ahli Parlimen Eropah tidak memiliki pemahaman menyeluruh terhadap situasi minyak sawit apabila mereka mengundi 640-18, dengan 28 berkecuali, bagi memperkenalkan skim pensijilan tunggal untuk minyak sawit memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan menghentikan penggunaan biodiesel sawit menjelang tahun 2020.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, secara asasnya ia adalah isu perdagangan yang mempergunakan usaha perlindungan alam sekitar. Ini walaupun FAO sudah mengesahkan keluasan hutan Malaysia meliputi 55.5 peratus dan jika termasuk kawasan hijau pertanian, jumlah keluasan kanopi hijau di negara ini meliputi 85 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Dalam lawatan saya ke Eropah minggu depan, saya akan lantang memperbetulkan salah faham dan bersuara berdasarkan fakta untuk menepis tuduhan-tuduhan tidak berasas yang merosakkan kehidupan lebih daripada dua juta rakyat Malaysia yang terbabit dalam rantaian nilai minyak sawit termasuk 644, 522 pekebun kecil jika tidak dibendung.

Minyak sawit 7.5 kali lebih tinggi hasilnya

Penduduk dunia dijangka berkembang daripada 7.4 bilion pada 2016 kepada 9.9 bilion pada tahun 2050. Justeru, lebih banyak makanan perlu dihasilkan dan dengan kekurangan tanah pertanian, dunia memerlukan kelapa sawit untuk memainkan peranan dan membantu dalam menyumbang kepada keperluan makanan dengan lebih cekap.

Pada 2016, kelapa sawit menggunakan kawasan tanah yang kecil, bagaimanapun ia dapat mengeluarkan hasil yang tertinggi bagi setiap hektar. Kelapa sawit menghasilkan 4.3 kali, 5.4 kali dan 7.5 kali lebih tinggi hasil daripada masing-masing biji sesawi, bunga matahari dan soya.

Jika dilihat kepada empat tanaman minyak utama dalam jumlahnya, kelapa sawit menggunakan sembilan peratus daripada jumlah keluasan tanah tetapi menghasilkan 39 peratus daripada jumlah hasil minyak. Sebaliknya, soya menggunakan 61 peratus daripada jumlah kawasan tanah tetapi hanya menghasilkan 34 peratus daripada jumlah minyak.

Malah, satu lagi kajian menunjukkan bahawa jika larangan ke atas kelapa sawit dikuatkuasakan di antara 2013 dan 2023, peningkatan permintaan minyak dan lemak perlu dituai melalui tambahan 97 juta hektar, 58 juta hektar atau 49 juta hektar kawasan tanah baharu masing-masing untuk penanaman soya, biji sesawi dan bunga matahari, berbanding hanya tambahan 8.8 juta hektar kelapa sawit jika larangan tidak dikenakan.

Kita semua mendukung kemampanan

Malaysia terus mengulangi bahawa industri minyak sawit adalah berlandaskan prinsip 3P - Rakyat (People), Planet dan Keuntungan (Profit). Malah, prinsip ini sudah diamalkan sebelum kewujudan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2016. Industri minyak sawit adalah pemangkin utama untuk membasmi kemiskinan, memastikan tiada kebuluran dan menyediakan peluang pekerjaan serta membantu pertumbuhan ekonomi.

Inisiatif kemampanan kami, diterajui oleh inisiatif Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan pada akhir 2019, dan akan membantu kita menangani isu pemanasan global dan biodiversiti kehidupan di bumi.

MSPO adalah bertunjangkan tujuh prinsip yang bersifat universal, iaitu daripada komitmen pengurusan dan tanggungjawab, ketelusan serta pematuhan kepada keperluan undang-undang dan amalan terbaik untuk tanggungjawab sosial, kesihatan, keselamatan, suasana pekerjaan, alam sekitar, sumber asli dan biodiversiti.

Sebanyak 40 peratus daripada keluasan tanah kelapa sawit membabitkan pekebun kecil di negara ini, justeru MSPO merupakan saluran utama untuk memastikan pematuhan kepada standard mampan kerana apa yang terbaik untuk alam sekitar juga yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Kesatuan Eropah perlu faham bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang komited .Kita tidak membelakangkan rakan perdagangan utama. Daripada menentang kita, EU mesti menyokong usaha pensijilan mampan dengan niat baik, dan bukannya mengenakan standard unilateral tunggal kepada kita. Lebih daripada isu kedaulatan, pensijilan tidak boleh dikenakan terhadap mereka yang bergantung kepadanya untuk mata pencarian.

Mari kita menuju ke hadapan dengan MSPO.

Penulis adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Artikel ini adalah pandangan-editorial (op-ed) untuk berkongsi pandangan, harapan dan visi komoditi kepada setiap rakyat Malaysia

255 dibaca
Berita Harian X