Jumaat, 9 Jun 2017 | 9:58pm

Pelajar sekolah, bekas penuntut Politeknik ditahan positif dadah


ANTARA individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika menyertai sebuah parti persendirian di sebuah apartmen di Kuala Lumpur. - Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Polis menahan 22 individu termasuk empat pelajar sekolah menengah dan seorang bekas pelajar Politeknik selepas terbabit penyalahgunaan dadah dalam sebuah parti persendirian.

Serbuan itu dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sebuah unit pangsapuri di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 30 tahun itu didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing .

"Kami percaya salah seorang daripada mereka adalah pengedar yang mengedar dadah kepada suspek. Kami turut merampas sebanyak 26 biji pil Erimin 5 dan 14 biji pil ekstasi serbuan.

"Kesemua 22 suspek kita siasat di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga suspek juga dituduh di bawah Seksyen 12 (2) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sukri berkata, ia adalah kes parti persendirian yang pertama berjaya diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985.

"Pihak kami sentiasa memantau sebarang parti yang dianjurkan secara haram dan tindakan akan diambil kepada yang terlibat dengan sebarang kegiatan salah ketika aktiviti terbabit," katanya.

223 dibaca
Berita Harian X