Selasa, 13 Jun 2017 | 10:31pm

3 beregu campuran langkah kanan di Jakarta

KUALA LUMPUR: Tiga beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Chan Peng Soon-Peck Yen Wei bermula cemerlang apabila masing-masing mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Paling membanggakan adalah kejayaan Soon Huat-Shevon yang menewaskan pilihan kelapan kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 15-21, 21-13 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta.

Ia adalah kemenangan kedua Soon Huat-Shevon ke atas pasangan Thailand itu selepas turut menumbangkan mereka ketika aksi separuh akhir Terbuka Thailand, minggu lalu.

Sementara itu, Kien Meng-Pei Jing tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu Taiwan, Lee Yang-Hsu Ya Ching 21-14, 22-20.

Peng Soon-Yen Wei pula membenam cabaran pasangan tuan rumah, Ronald Ronald-Melati Daeva Oktavianti 21-18, 21-18.

Soon Huat-Shevon akan bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin manakala Kian Meng-Pei Jing akan menentang beregu Indonesia, Fachryza Abimanyu-Bunga Fitriani Romadhini sementara Peng Soon-Yen Wei berdepan pilihan kedua dari China, Lu Kai-Huang Yaqiong bagi merebut tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Turut mara ke pusingan kedua ialah perseorangan wanita, Sonia Cheah yang menewaskan pemain Taiwan, Chiang Mei Hui 21-18, 21-11.

197 dibaca
Berita Harian X