Rabu, 14 Jun 2017 | 10:22pm

Lenovo perkenalkan ThinkPad P51s Workstation


JASON Wong (tengah) melancarkan Lenovo ThinkPad P51s terbaru pada majlis pelancarannya di De Gouffron Taman Tun Dr Ismail. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Lenovo, peneraju teknologi global, mengembangkan siri komputer riba ThinkPad sedia adanya dengan melancarkan ThinkPad P51s Workstation.

Pengurus Besar Malaysia dan Singapura Lenovo, Khoo Hung Chuan, berkata Lenovo sentiasa mahu meningkatkan pengalaman pelanggannya dan merangsang pasaran dengan memperkenalkan produk 'tahap seterusnya, lengkap dengan sistem operasi paling berkuasa.

"ThinkPad P51s Workstation adalah satu contoh baik daripada Lenovo memenuhi keperluan pelanggan perniagaan kami melalui inovasi terkini," katanya pada majlis pelancaran produk itu, di sini, hari ini.

Khoo berkata, komputer riba itu mempunyai gabungan prestasi dan fungsi untuk mengendalikan perisian proses berat dengan kestabilan dan kelajuan yang diperlukan oleh pengguna.

"Workstation itu, yang dibangunkan dengan mengambil kira keperluan jurutera dan arkitek, menawarkan sistem kelas pertama dalam bingkai skrin paling nipis dan seringan mungkin, tanpa menjejaskan kualiti," katanya.

Beliau berkata workstation itu akan menyediakan hayat bateri hingga 17 jam, dikuasakan oleh Power Bridge Technology dengan jaminan tiga tahun.

ThinkPad P51s yang berharga RM6,999 itu dijangka berada dalam pasaran mulai pertengahan Julai di wakil penjual Lenovo yang sah dan terpilih di seluruh negara. --BERNAMA

57 dibaca
Berita Harian X