Khamis, 15 Jun 2017 | 11:57am

Bangun selit prinsip hidup Fazura


DUTA Jenama Neffos, Nur Fazura. - Foto Mohd Adam Arinin

KUALA LUMPUR: Bagai di puncak populariti, bintang jelita, Fazura terus mengatur strategi selepas meraih trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, bulan lalu.

Terbaharu, dua single pelakon Hero Seorang Cinderella ini iaitu Bisa Apa dan Bangun akan dilancarkan, esok.

Lebih mengujakan, single Bisa Apa ciptaan komposer Indonesia, Tantra Numay dan Mhala Numata dijadikan runut bunyi drama popular, Hero Seorang Cinderella yang menggandingkan Fazura dengan Fattah Amin.

Memberitahu BH Online, Fazura mengaku jatuh cinta sebaik mendengar versi asal atau raw lagu Bisa Apa.

"Lagu ini ada tarikan tersendiri daripada aspek susunan muzik dan lirik," katanya.

Tambah Fazura, lagu Bangun yang dicipta komposer tempatan, Ilyahida pula berentak catchy dan penuh inspirasi. Karya ini mudah dikaitkan dengan kehidupan bintang Langit Cinta ini yang sentiasa berfikiran positif.

"Bangun adalah lagu yang melambangkan kekuatan. Kejayaan boleh dikecapi jika kita sentiasa pilih untuk bangun daripada setiap kejatuhan. Kejatuhan pada saya, ada tersembunyi hikmah istimewa.

"Jadi saya harap, semua yang mendengar lagu ini juga akan terus bangun biarpun berdepan banyak hal yang buruk dalam kehidupan," katanya.

Bagi melengkapkan 'kelahiran' Bangun, sebuah video klip akan dihasilkan selepas Aidilfitri.

Mengikat kontrak bersama Universal Music Malaysia sejak beberapa bulan lalu, nampaknya Fazura tidak mempersiakan ruang dan 'rezeki' yang ada.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong melahirkan rasa teruja dengan perkembangan positif dalam pengurusan karier nyanyian Fazura yang disifatkan agak 'laju'.

"Kita baru menjalinkan kerjasama, namun pihak Universal bersama Fazura tidak hanya mengikat kontrak di atas kertas tanpa memberi sebarang hasil.

"Malah dalam tempoh ini, Fazura sudah menjalin kerjasama dengan Jason dari Filipina," katanya.

411 dibaca
Berita Harian X