Jumaat, 16 Jun 2017 | 6:39am

STEM boleh jayakan agenda TN50

Felo, Pusat Pendidikan Kejuruteraan dan Pensyarah, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ahli Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Segmen Penggiat Seni di Dewan Bankuet, Seri Perdana. - Foto Asyraf Hamzah

Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) bukan lagi satu konsep yang asing khususnya di Johor yang menjadi peneraju dalam pendekatan pembelajaran ini yang digelar PAK21.

Sempena sambutan Hari Guru tahun ini, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengadakan Konvensyen PAK21 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor yang dihadiri lebih 350 orang warga pendidik dan ibu bapa dari seluruh negeri Johor. Konvensyen itu membuktikan komitmen JPNJ dalam memastikan pendidikan di negeri Johor adalah sejajar dengan keperluan semasa dan memenuhi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Namun, apakah kepentingannya PAK21 sehingga JPNJ mewujudkan 110 sekolah perintis PAK21 sejak 2015? Isu ini telah ditekankan oleh Pengarah, Pusat Pendidikan Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Khairiyah Mohd Yusof yang menjadi seorang daripada penceramah di Konvensyen tersebut.

Menurut beliau, dunia sedang bergerak ke arah Revolusi Industri Ke-4 yang banyak mengaplikasikan teknologi Artificial Intelligence bagi membolehkan mesin dan komputer menjalankan hampir semua proses produksi yang rutin dan rumit. Dengan hadirnya Revolusi Industri Ke-4, peranan manusia dalam industri dalam operasi rutin boleh digantikan dengan mesin.

Fokus kemahiran berfikir

Sebagai contoh, mesin dengan kamera dan pengimbas boleh melakukan proses semakan kualiti barangan tanpa seliaan manusia, malahan berfungsi jauh lebih tepat daripada manusia serta tidak kenal penat. Komputer yang diprogramkan dengan algoritma tertentu dapat menganalisis data bursa saham dari seluruh dunia lalu memberikan ramalan yang tepat kepada pelabur dalam tempoh beberapa saat sedangkan pakar memerlukan beberapa hari untuk melakukannya.

Banyak pekerjaan yang ada pada hari ini akan dikurangkan atau tidak wujud lagi pada tahun pasca 2050 dan lebih 30 peratus pekerjaan yang bakal dilakukan oleh generasi baharu ini masih belum wujud lagi pada hari ini. Dahulu ada pemandu teksi, sekarang ada pemandu Uber, mungkin pada masa hadapan pemandu tidak diperlukan kerana diganti dengan kereta automatik. Jadi, bagaimanakah kita hendak menyediakan generasi baharu kita untuk menghadapi semua ini?

Menurut World Economic Forum dalam laporan The Future Jobs, majikan 2020 tidak lagi melihat kepada kelayakan semata-mata tetapi kemahiran berfikir ketika mengambil pekerja baru. Antara 10 kemahiran teratas yang dikehendaki oleh majikan adalah keupayaan seseorang menyelesaikan masalah kompleks, berfikir secara kritis, kreatif, menguruskan manusia, kecerdasan emosi, membuat keputusan serta berunding. Semua kemahiran itu masih belum dapat dilakukan oleh teknologi Artificial Intelligence masa kini.

Selain itu, World Economic Forum dalam laporan bertajuk New Vision for Education juga mengetengahkan kemahiran abad ke-21 yang perlu dimiliki pelajar sekolah masa kini yang terdiri daripada komponen kecelikan asas, kemahiran atau kompetensi, dan sikap. Pelajar perlu diterapkan kemahiran celik bahasa, sains, matematik, teknologi maklumat dan komunikasi, kewangan, dan kebudayaan dan sivik.

Dalam komponen kemahiran, pelajar perlu menguasai kemahiran pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi dan kerjasama manakala dalam komponen sikap, pelajar perlu menyemai sikap ingin tahu, berinisiatif, cekal, kebolehan mengadaptasi, kepimpinan, dan kesedaran sosial dan kebudayaan.

Sekiranya sekolah dan ibu bapa masih mementingkan bilangan A dan mengabaikan pembangunan individu pelajar dalam mencapai kemahiran abad ke-21 ini, adakah Malaysia mampu bersaing dalam dunia pasca 2050?

Penulis juga berpeluang menjadi panelis forum dalam Karnival TN50 Sedili, peringkat daerah Kota Tinggi yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid baru-baru ini di mana antara isu, yang dibincangkan untuk menjayakan agenda TN50 adalah Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di samping pembelajaran abad ke-21.

Revolusi Industri ke-4.

Kira-kira 60 peratus pekerjaan pada masa hadapan adalah berkaitan dengan bidang STEM khususnya dalam Artificial Intelligence ekoran Revolusi Industri ke-4. Namun, menurut seorang penceramah, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kini hanya ada 47 peratus pelajar sekolah dalam aliran berkaitan STEM.

Ehsanuddin turut melahirkan kerisauannya apabila semakin banyak industri berkaitan STEM akan dibangunkan di sekitar Kota Tinggi tetapi tenaga kerja industri tersebut tidak dapat diisi oleh penduduk tempatan sekiranya pendidikan STEM tidak diutamakan dari sekarang.

Tuntasnya, bagi menjayakan agenda TN50, kita perlu bersedia dari sekarang untuk menghadapi perubahan dunia yang pasti melanda. Untuk Malaysia mencapai status negara maju pada 2050, masyarakat Malaysia perlu menjadi pencipta teknologi, bukan pengguna teknologi semata-mata.

Agenda pendidikan yang berteraskan pendidikan STEM dan abad ke-21 perlu dititikberatkan oleh warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Untuk itu, Pendidikan STEM harus dikelolakan dengan lebih berpusatkan pelajar, berorientasikan kemahiran berfikir dan pembentukan sikap, bukan lagi hanya melihat kepada bilangan A.

82 dibaca
Berita Harian X