Ahad, 18 Jun 2017 | 7:01am
MALAM lailatulqadar amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. - Foto hiasan

Rebut rahmat, ganjaran lailatulqadar

SATU daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah terdapatnya satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan, malam lailatulqadar yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Malam istimewa itu amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri memohon kepada Allah SWT supaya malam bersejarah yang penuh hikmah itu berkenan menemuinya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama 1,000 bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah Taala." (Riwayat Ibnu Majah)

Lailatulqadar akan muncul pada bulan Ramadan setiap tahun sebagai satu anugerah Ilahi dan rahmat-Nya yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja dengan lebih banyak ganjarannya.

Untuk yang ikhlas

Pada malam itu, Allah SWT menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan, mengharapkan keredaan serta menghiasi setiap detik kehidupan dengan amalan soleh.

Fadilat pada malam mulia itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, perilaku, akhlak, ibadat dan aktiviti kehidupan sehariannya.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanan supaya dilimpahi kenikmatan syurga, kebahagiaan abadi bersama golongan nabi, rasul, siddiqin, syuhada serta orang soleh.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya mendapatkan lailatulqadar dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga supaya meningkatkan amalan ibadat seperti solat terawih, tahajud, witir, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah SWT.

Baginda SAW juga memanjatkan doa ke hadrat Ilahi: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Dianjur berdoa, bertaubat

Setiap Muslim juga dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT daripada sebarang kesalahan dan dosa selama menelusuri pentas kehidupan yang penuh berliku ini. Manusia pada dasarnya tidak terlepas dari kealpaan dan melakukan kesalahan yang dilarang Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang dalam kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah." (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah segala amalan dan bertaubat kepada Allah SWT biarpun sekecil mana kesalahan dilakukan.

Amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu lain kerana ajal maut akan datang menjemput pada bila-bila masa sahaja.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang beribadah pada lailatulqadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau." (Riwayat Muslim)

Peluang keemasan yang disediakan Allah SWT sepanjang Ramadan khususnya lailatulqadar perlu direbut dan dimanfaatkan sebaiknya kerana kita tidak mahu menyesal di kemudian hari, apatah lagi belum pasti kita berpeluang bertemu Ramadan tahun hadapan.

54 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »