Ahad, 18 Jun 2017 | 6:32pm

50 peratus calon MCA muka baharu: Tiong Lai


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MCA Bahagian Ledang di Jalan Payamas, Tangkak, hari ini. - Foto Adi Safri

TANGKAK: MCA bakal meletakkan 50 peratus muka baharu sebagai calon bagi mewakili parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata parti itu sudah membuat senarai pendek kebanyakan bakal calon parti berkenaan dan kini dalam proses akhir bagi mengenal pasti calon yang benar-benar layak bertanding pada PRU kelak.

"Hari ini, MCA mempunyai lebih calon pilihan. Kita tidak akan pilih dan letak seseorang calon itu hanya kerana 'kawan baik' atau kroni dan sebagainya.

"Sekarang, semua (senarai calon) adalah berdasarkan daripada sumber kajian kami sendiri dan kaedah yang lebih saintifik bagi memilih calon terbaik yang akan mewakili MCA dalam sesebuah kawasan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Bahagian Ledang di Jalan Payamas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Tiong Lai berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan semua jentera MCA di pelbagai peringkat supaya sentiasa bersiap sedia dan pada masa sama mengekalkan momentum gerak kerja sedia ada bagi menghadapi PRU akan datang.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihak kementerian akan melaksanakan sistem caj jalan raya dan permit kemasukan kenderaan (VEP) dari Thailand menjelang akhir tahun ini.

"Memang kita akan laksanakan caj jalan raya dan VEP kenderaan dari Thailand kerana kaedah sama yang kita laksanakan di Johor Bahru sebelum ini berjaya (mencapai matlamatnya). Kita mendapat kutipan yang baik dan ia juga berjalan dengan lancar.

Tetapi di Johor Bahru hanya ada caj jalan raya sahaja kerana VEP belum dilaksanakan lagi.

"Jadi kita juga akan laksanakan VEP dan caj kenderaan secara serentak bagi kenderaan dari Thailand. Kita juga akan laksanakan VEP kenderaan dari Singapura juga pada akhir tahun ini kerana kita mahu mengambil data kenderaan dari luar negara yang masuk ke negara ini," katanya.

48 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »