Isnin, 19 Jun 2017 | 6:16am

Jual mercun, bunga api di mana silapnya?


PELBAGAI mercun dan bunga api yang dirampas anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam operasi di Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

SABAN tahun setiap kali Ramadan ada sahaja anak-anak kita yang cedera akibat main mercun dan bunga api.

Kebanyakannya mereka beli pelbagai bunga api dan mercun yang dijual di pasaran dan kemudian ubah suai untuk jadikan 'bom'. Ada juga kes kecederaan akibat main mercun yang bukan diubah suai. Ini membabitkan mercun yang diharamkan jualan di negara kita, iaitu jenis berbahaya. Saya juga pernah ubahsuai mercun dan bunga api ketika remaja dan bersekolah dahulu.

Mudah sahaja prosesnya. Beli mercun bola atau mercun ketupat dan satukan dalam satu bekas plastik atau bungkus dalam akhbar serta diikat kemas serta padat. Dengan sedikit kreativiti, saya gunakan bunga api yang biasa kita bagi anak kecil main sebagai sumbu. Letak 'bom' tadi di pangkal pokok, kemudian cucuh api dan meletup boom!! ...tumbang pokok setinggi lima kaki.

Selain itu, belerang bunga api dipatah-patahkan dan dipadatkan dalam sebarang bekas seperti tin kecil atau bungkus padat dalam surat khabar yang letupannya boleh gegarkan rumah kayu abah saya di kampung. Bukan nak mengajar, tapi nak bagi tahu betapa mudahnya nak ubahsuai bunga api dan mercun. Saya bernasib baik tak cedera. Cuma ada sekali hangus bulu mata ketika mengintai melalui hujung meriam buluh yang tak meletup walaupun sudah dicucuh api. Memang sejak dahulu ramai yang tak bernasib dan alami kecederaan parah. Ada yang kudung putus jari dan sebahagian tangan serta ada yang buta mata tidak dapat melihat lagi.

Ketika zaman saya dahulu, tiada larangan menjual, memiliki dan bermain mercun. Jenis mercun dan bunga api pun tak pelbagai seperti sekarang. Harganya pun murah. Kini walaupun diharamkan, jenis bunga api dan mercun lebih banyak dengan harga mencecah ratusan ringgit. Yang dibenarkan untuk jualan dan main hanya bunga api jenis biasa yang dipegang dan pop-pop.

Tetapi kalau kita pergi ke bazar Ramadan, segala macam bunga api dan mercun dijual secara terbuka. Kebanyakannya dijual oleh remaja dan mereka di bawah umur, yakni masih bersekolah. Lantas kita bertanya dari mana datang mercun dan bunga api itu. Dijual pula secara terbuka, selain melalui internet atau secara tertutup sesama rakan pejabat. Asal usulnya dari negara yang berjiran dengan kita dan kerap kali dilaporkan kebanyakannya dari Thailand. Ada juga menyatakan ia diseludup melalui kapal, selain jalan darat di sempadan. Persoalannya

adakah penguatkuasaan kita masih lemah? Bagaimana boleh bolos melalui sempadan kita?. Adakah ada elemen rasuah?.

Semua agensi dan jabatan, seperti Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) perlu pastikan tiada musuh dalam selimut.

Begitu juga polis dan pihak berkaitan lain, jangan ada musang berbulu ayam. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga elok tinjau di bazar Ramadan, lokasi utama penjualan bunga api dan mercun. Kenapa dibiarkan mereka berniaga barang yang diharamkan.

dibaca
Berita Harian X