Isnin, 19 Jun 2017 | 4:44pm
TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Bobber memang 'stylo'


BONNEVILLE Bobber, memang mempesonakan dan 'stylo' dari setiap sudut pandang. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Selepas sekian lama 'kempunan', akhirnya minggu lalu BH Auto berpeluang menunggang uji Triumph Bonneville Bobber, sumbangan Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar motosikal jenama Triumph di Malaysia.

Ia sesuatu yang dinantikan kerana model ini tampak hebat, apatah lagi ia dihasilkan oleh pengeluar jenama ikonik British, Triumph Motorcycles, yang diketahui amat mementingkan perincian reka bentuk dan kesenian kejuruteraan.

Bobber adalah inspirasi daripada "Bob Job", konsep pengubahsuaian motosikal era 1940an, yang mana pada dasarnya 'membogelkan' motosikal bagi mengurangkan berat tanpa menyentuh kerangka dan geometri asal motosikal berkenaan.

Bonneville Bobber, memang mempesonakan dan 'stylo' dari setiap sudut pandang. Letak atau tunggang ia di mana sahaja, pasti ramai yang terpukau dengannya. Lebih lama anda menatapnya, makin kuat keinginan untuk memiliki dan menunggangnya.


TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Triumph berjaya menghasilkan kombinasi motosikal 'reka bentuk selepas perang' dengan prestasi terkini. Model ini dilengkapi komponen elektronik berteknologi tinggi yang disembunyikan rapi dari pandangan luar.

Sistem ride-by-wire, dua mod tunggangan (jalan raya dan hujan); kawalan cengkaman (TC); sistem brek anti-kunci (ABS) antara lain boleh diakses pada punat di handel dan dilihat pada paparan skrin LCD kecil meter berkonsep analog. Sementara itu, penyerap hentakan monoshock pula terlindung di bawah tempat duduk tunggal.

Jelas, Triumph tidak mengorbankan aspek keselamatan, keselesaan dan kualiti tunggangan semata-mata untuk tampil bergaya. Ia adalah lebih praktikal berbanding model Bobber pesaingnya seperti Harley-Davidson Forty-Eight.


TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Walaupun Bobber dipacu enjin dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,200cc seperti pada model Bonneville T120, namun kepala enjin bukaan tunggal (SOHC) dua piston berkembar selari itu menawarkan lebih kuasa kuda dan tork pada rpm rendah. Ia memiliki kotak gear enam kelajuan.

Sistem klac bantuan-tork membuatkan tarikan klac yang amat lembut dan mudah ketika menukar gear. Semuanya menjadikan tunggangan di kawasan bandar dan juga jarak jauh yang amat selesa dan mudah.

Bobber memiliki dua karakter, walaupun ia amat lancar dan selesa ditunggang pada kelajuan 100-120 km/j, namun ia boleh bertukar menjadi agresif seperti 'hooligan' ketika rpm naik melebihi 3,000. Penulis memecut sehingga 180 km/j namun terasa pendikitnya masih berbaki.

Lebih mengujakan, ia terasa amat ringan dan mudah dikawal, seumpama menunggang motosikal moped. Walau begitu Bobber amat stabil ketika mengambil selekoh, justeru memberi keyakinan kepada penunggangnya.

Kesimpulannya, Bonneville Bobber menawarkan pakej motosikal dengan keunikan reka bentuk vintaj berserta prestasi terkini, yang mana amat sukar dilepaskan.


TRIUMPH Bonneville Bobber. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Spesifikasi:

Enjin: 1,200cc, 8v, penyejukan cecair, piston berkembar selari

Kuasa maksimum: 76 bhp

Tork maksimum: 78 ft-lb

Kelajuan maksimum: 195 km/j

Kapasiti tangki: 9.1 liter

Jarak tangki penuh: 220 km

Berat: 228 kg

Suspensi hadapan: 41mm, fork KYB

Suspensi belakang: Monoshock KYB

Brek hadapan: disk 310 mm, kaliper 2-piston Nissin

Brek belakang: disk tunggal 255 mm; kaliper piston-tunggal Nissin

Harga: RM74,900 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

dibaca
Berita Harian X