Isnin, 19 Jun 2017 | 10:53pm
PEGAWAI polis berdiri di hadapan mesej dan tanda penghormatan berhampiran lokasi rempuhan van berdekatan Masjid Finsbury Park, London. - Foto Reuters
INSIDEN rempuhan van berdekatan Masjid Finsbury Park di London. - Foto AFP

Insiden Finsbury Park, tiada rakyat Malaysia terbabit

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden rempuhan van berdekatan Masjid Finsbury Park di Utara London, awal hari ini, kata Kementerian Luar.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia mengutuk serangan ke atas orang awam yang tidak bersalah dan menyifatkan insiden itu amat membimbangkan kerana ia seolah-olah khusus disasarkan kepada jemaah yang baru selesai menunaikan solat ketika Ramadan yang mulia.

"Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga orang tersayang mangsa insiden ini. Malaysia berharap pelaku insiden itu segera dibawa ke muka pengadilan," kata kenyataan itu.

Menurut laporan REUTERS, sekurang-kurangnya seorang maut dan 10 yang lain cedera apabila sebuah van merempuh sekumpulan jemaah pejalan kaki dekat masjid itu sejurus selepas tengah malam (waktu tempatan) ketika umat Islam meninggalkan masjid selepas menunaikan solat .

Kementerian berkata, ia sedang memantau dengan rapi insiden dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memberi maklumat terkini kepada komuniti Malaysia di bandar raya itu.

Kementerian juga menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan yang terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di 52 Bedford Row, London WC1R 4LR atau menghubungi +44 (0) 207 242 4308 atau e-mel mwlondon.kln@1govuc.gov.my - BERNAMA

5 dibaca
Berita Harian X