Rabu, 21 Jun 2017 | 12:59pm

Izara hulur duit raya


PELAKON, Izara Aishah. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izara Aishah, 25, akur apabila menyedari kini tiba gilirannya menghulurkan duit raya.

Sebelum ini, kata bintang J Revolusi itu, beliau antara yang masih menerima duit raya daripada anggota keluarga dan sanak-saudara.

Beliau yang ditemui baru-baru ini pada majlis pelancaran produk kosmetiknya, Madame Izara, mulai sedar takkan selama-lama dirinya terus menerima 'angpau' raya.

"Nampaknya, tahun ini saya sudah kena bagi duit raya. Boleh dikatakan, sejarah hidup akan tercipta kerana inilah kali pertama saya berbuat demikian. Selalunya, saya yang dapat.

"Saya pun sudah rasa ada tanggungjawab, jadi nak tak nak, kena juga (hulurkan duit raya). Sekarang ini pun saya sudah 25 tahun. Nak kata besar panjang, tidaklah juga," selorohnya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon ini lebih suka bersederhana dalam membuat persiapan. Baginya, apa yang lebih penting adalah waktu diluangkan bersama keluarga.

"Detik bersama keluarga itulah yang saya utamakan. Dapat berkumpul dan bersalaman bagai menjadi tradisi setiap kali raya. Ketika itulah kita hendak memohon maaf, kalau ada salah dan silap," katanya.

Izara juga sempat berkongsi perihal juadah kegemarannya setiap kali tibanya hari raya.

"Hari raya akan meriah jika pelbagai jenis kuih dan biskut disediakan. Paling saya suka ialah biskut cornflakes madu. Beraya takkan lengkap tanpa biskut raya.

"Saya tidaklah terlalu sukakan rendang dan lontong. Begitupun, saya takkan menolak andai ada hidang roti jala cicah kuah kari ayam," katanya.

Sementara itu, mengenai ura-ura dirinya bakal meraikan hari raya terakhir tahun ini sebagai anak dara, Izara meminta peminat mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

Beliau dan kekasih, Adib Khalid, difahamkan bakal menaiki pelamin pada tahun ini juga.

"Insya-Allah, kita doa yang baik-baik. Saya juga mengharapkan penamat yang baik untuk kami berdua. Begitupun, kalau hendak ditanya lebih-lebih, kenalah tanya Adib sendiri. Tidak manis rasanya untuk saya berkongsi hal ini," katanya.

204 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »