Sabtu, 24 Jun 2017 | 7:21am

Kejahilan suburkan ekstremisme

RADIKALISME adalah gerakan pelampau yang muncul sebagai tindak balas terhadap sesuatu perkara yang dianggap salah atau zalim.

Seseorang menjadi radikal apabila ia hanya menerima satu sudut pandang tertentu yang diyakininya benar terhadap kelompok lain yang dimusuhi semata-mata berdasarkan kepada prejudis dan kebencian.

Golongan pengganas pada dasarnya berfahaman radikal, namun tidak semua golongan radikal mengambil jalan keganasan untuk mencapai agenda mereka. Apabila disebut golongan ekstremis, kita sering beranggapan bahawa mereka adalah golongan radikal. Sebenarnya ekstremisme ada dua bentuk - pelampau kanan, radikal, yang melampau keras dalam beragama dan ekstremis kiri, liberal yang melampau longgar dalam beragama.

Kedua-duanya dikecam dan dilarang dalam Islam. Golongan ekstremis radikal dalam kalangan umat Islam sememangnya wujud dan tidak boleh dinafikan. Bahkan dalam sejarah Islam muncul Khawarij, kelompok pelampau yang mengkafirkan sahabat yang mulia dan memerangi mereka kerana perbezaan pendapat.

Perlu ditekankan bahawa kelompok yang dikafirkan dan diperangi adalah kelompok yang benar, memiliki autoriti dan kedudukan yang mulia di sisi Islam. Justeru, golongan Khawarij ini menolak autoriti para sahabat dan mengangkat diri mereka sendiri sebagai autoriti yang benar dalam mentafsirkan Islam.

Ekstremis berfahaman takfiri

Pada hari ini, golongan ekstremis radikal muncul kembali dan pada umumnya berfahaman takfiri, iaitu menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam, termasuk ulama kerana tidak menjalankan hukum Islam dan tunduk kepada kuasa Barat. Mereka bukan sahaja memerangi Barat, tetapi juga menghalalkan darah orang Islam yang 'bersekongkol' dengan Barat dan pemimpin yang dianggap 'taghut'.

Jelas, punca perbuatan mereka ini adalah kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh kuasa Barat terhadap umat Islam dan mereka ingin tampil sebagai pembela Islam.

Mereka tidak sedar perbuatan mereka sebenarnya lebih memudaratkan umat Islam dan mencemarkan imej Islam sebagai agama yang aman dan damai. Golongan radikal mempunyai naratif tersendiri dalam mengemudi perjuangan. Berdasarkan pembacaan mereka terhadap teks agama, mereka berpendapat, kuasa politik adalah segala-galanya. Mendirikan negara Islam atau khilafah Islamiyyah adalah matlamat tertinggi perjuangan, bagi mereka dengan tegaknya khilafah ini maka kebangkitan umat Islam akan benar-benar berlaku.

Oleh kerana kuasa politik adalah matlamat mereka, maka mengangkat senjata yang disinonimkan dengan jihad, adalah satu-satunya jalan merealisasikannya. Sememangnya, al-Quran dan al-Sunnah banyak menyebut mengenai jihad, namun ia tidak boleh disalahgunakan untuk menjustifikasikan keganasan yang berlawanan dengan mesej utama Islam.

Ulama tak berautoriti

Penggunaan ayat ini mestilah dengan merujuk kepada kefahaman menyeluruh dan tafsiran ulama berautoriti dahulu dan masa kini agar pemahaman seseorang itu tidak keliru dan mengelirukan orang lain. Meskipun dalam kalangan mereka ada yang dianggap ulama dan berlatar belakang pengajian Islam, sebenarnya mereka bukan ulama berautoriti dan belum sampai ke tahap mujtahid yang boleh memutuskan hukum dan menjadi rujukan.

Akibat keganasan oleh segelintir kelompok atas nama membela Islam, maka kehidupan umat Islam khususnya di Barat semakin tertekan. Mereka terpaksa mengambil sikap apologetik dan cuba sedaya upaya membuktikan kepada bukan Islam bahawa mereka juga berfikiran terbuka, moden dan liberal, supaya diterima oleh masyarakat Barat.

Pengamalan Islam yang benar meskipun dalam ruang peribadi menjadi payah dan dicurigai. Lebih parah apabila penindasan terhadap orang Islam dan Islamofobia semakin berleluasa dan dianggap wajar. Akhirnya, masyarakat bukan Islam semakin jauh daripada Islam dan ramai generasi muda Muslim semakin keliru, malahan tidak sedikit daripada mereka yang meninggalkan Islam kerana malu imej Islam yang buruk.

Untuk menangani radikalisme, tindakan pencegahan perlu dilakukan untuk menghalang anak muda daripada terpengaruh dengan ideologi radikal. Deradikalisasi perlu dilakukan ketika fahaman radikal mula merebak dan sebelum ia bertukar menjadi lebih ekstrem iaitu keganasan. Malangnya sedikit perhatian diberikan pada tahap ini. Justeru, apabila seseorang itu menjadi pengganas, ini bermakna kekeliruan sudah begitu parah dan lebih berat untuk ditangani.

Kerana itu, pihak berkuasa, agensi bertanggungjawab dan NGO Islam perlu menyuburkan aktiviti ilmiah bagi memberi kefahaman yang benar mengenai Islam agar masyarakat tahu menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan ekstremisme. Kita perlu lahirkan masyarakat cerdas, berbudaya ilmu, mampu menapis maklumat dan menilai dengan sendiri fahaman songsang dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keutamaan perlu diberikan kepada memperbetulkan kesalahan dalam memahami agama Islam, baik di kalangan orang Islam sendiri mahupun bukan Islam. Seringkali salah faham orang bukan Islam terhadap Islam berlaku akibat pemikiran dan tindakan sebahagian orang Islam sendiri. Dialog dengan Barat, kelompok sekular, radikal, agama lain, perlu digiatkan agar mereka mendapat gambaran hakikat sebenar mengenai Islam.

Kejahilan menyuburkan ekstremisme, baik ekstremisme radikal mahupun ekstremisme liberal. Kerana itu menjadi tanggungjawab ilmuwan hapuskan kejahilan dan kekeliruan ini, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan jika golongan ilmuwan disibukkan dengan perkara yang bukan tugas hakikinya atau menyibukkan diri dalam hal remeh temeh dan mengejar habuan dunia.

Penulis ialah Pengarah CASIS, Universiti Teknologi Malaysia

436 dibaca
Berita Harian X