Sabtu, 24 Jun 2017 | 3:07pm

Tugas Ziana, Anuar sediakan biskut raya


Ziana dan Anuar Zain

KUALA LUMPUR: Setiap kali tibanya 1 Syawal, menjadi tugas dua beradik terkenal, Ziana dan Anuar Zain, untuk melakukan persiapan Hari Raya.

Menurut penyanyi Madah Berhelah itu, kedua-duanya diberikan tugas untuk menyediakan biskut raya sebagai hidangan tetamu di kediaman ibu bapa mereka.

"Dalam soal biskut raya, memang menjadi tugas saya dan Anuar untuk membelinya. Cuma, tahun ini emak dan abah ada berpesan, kalau beli jangan banyak-banyak.

"Kata mereka, biskut yang dibeli pada tahun lalu terlalu banyak hingga ia boleh dimakan sehingga ke Aidiladha. Jadi, tahun ini mereka meminta kami kurangkan kuantitinya," ujar Ziana sambil ketawa.

Kata Ziana juga, saban tahun, adik-beradik akan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memutuskan di mana mereka semua akan beraya.

"Selalunya, kami adik-beradik membiarkan enak dan abah membuat keputusan nak beraya ke mana. Kalau mereka nak balik kampung, kami ikut saja.

"Maklum sajalah, mereka pun semakin berusia. Kami akan buat apa saja demi membahagiakan mereka," cerita penyanyi berusia 49 tahun ini.

Sementara itu, setiap kali tibanya musim Aidilfitri, tidak dapat dinafikan lagu Halaman Asmara hasil paduan suara Ziana dan Datuk Awie yang sudah pun berusia 23 tahun sering diputarkan di corong radio.

Bercerita mengenai lagu berkenaan, Ziana berkata ada cerita menarik di sebaliknya.

"Sewaktu mula-mula diminta merakamkan lagu berkenaan dan selepas mendengar melodi serta membaca liriknya, saya katakan pada Awie, karya itu tidak seperti lagu raya sedia ada. Tetapi lebih kepada lagu cinta.

"Tidak disangka pula ia berjaya bertahan sehingga ke hari ini dan turut dinyanyikan oleh anak-anak saudara saya," kata Ziana yang turut mengusahakan perniagaan tudung jenama sendiri.

483 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »