Selasa, 27 Jun 2017 | 12:43pm
TAIPING 27 JUNE 2017. Keadaan kereta yang mengakibatkan dua maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kamunting Lama, di hadapan Kem Sangro, Taiping. NSTP/IHSAN FACEBOOK TAIPING ZONE[FOTO /BH]

2 maut, 2 cedera kereta bertembung


KEADAAN kereta yang mengakibatkan dua maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kamunting Lama, di hadapan Kem Sangro, Taiping. - Foto Ihsan Facebook Taiping Zone

TAIPING: Dua lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kamunting Lama berhadapan Kem Sagro, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, S Yugandren, 27 dan M Kalidasan, 25, yang juga penumpang kereta PROTON Saga FLX meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan akibat bertembung dengan sebuah lagi kenderaan jenis Audi A5 di laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa, yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan hilang kawalan.

"Kereta Audi A5 yang datang dari arah Batu Kurau menghala Taiping gagal mengelak dan melanggar sisi kiri Saga FLX.

"Kejadian itu menyebabkan dua penumpang Saga FLX tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, pemandu Saga FLX cedera di kepala kepala, manakala pemandu Audi A5 mengalami luka ringan pada tangan kanan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Harith Kam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa yang maut dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

148 dibaca
Berita Harian X