Jumaat, 30 Jun 2017 | 2:07pm

Buruh maut motosikal rempuh kereta


SEORANG buruh maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Kubang Tin, Melor. Mangsa di kenali Mohamad Shahrul Nizam Ahmad. - Foto Ihsan Pembaca

KOTA BHARU: Seorang buruh maut manakala dua yang lain parah dalam nahas tiga motosikal dan sebuah kereta di Kampung Kubang Tin, Melor di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi tadi, Mohamad Shahrul Nizam Ahmad, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Melor sebelum merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata dua lagi penunggang motosikal berasingan juga tidak sempat mengelak berikutan jarak yang terlalu dekat sebelum merempuh kenderaan terbabit.

"Pemandu kereta membuat pusingan U ketika masuk ke simpang jalan ke Aril, menyebabkan ketiga-tiga penunggang motosikal dari arah Kota Bharu ke Melor tidak sempat mengelak kenderaan terbabit.

"Akibat rempuhan itu, Mohamad Shahrul Nizam tercampak dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, dua lagi penunggang cedera parah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala pemandu kereta berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Mayat dibawa ke HUSM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

280 dibaca
Berita Harian X