Ahad, 2 Julai 2017 | 6:57am

Bersama perangi ekstremisme militan Daesh

TESIS pertembungan peradaban atau The Clash of Civilizations telah diperkenalkan pada tahun 1993 oleh sarjana politik Amerika Syarikat (AS), Samuel P Huntington.

Teori yang dibangkitkan Huntington ini terus diperdebatkan kerana beliau menggambarkan bahawa dunia Islam adalah ancaman kepada hegemoni Barat selepas berakhirnya Perang Dingin pada 1990-an.

Meskipun ramai mengkritik teori ini, pendukung kepada teori ini melihat peperangan yang berlaku di Asia Barat pada masa ini dan serangan yang dilakukan pengganas Al-Qaeda dan kini Daesh di AS dan Eropah mengesahkan kebenaran teori tadi. Eropah sejak kebelakangan ini telah menyaksikan banyak serangan pengganas Daesh yang menjejaskan keselamatan awam.

Di United Kingdom, 2017 menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan iaitu di Westminster, Manchester Arena dan London Bridge. Manakala di Perancis pula berlaku 19 serangan bermula dari Disember 2014 hingga April 2017. Negara Eropah lain seperti Belgium, Jerman, Russia, Sweden dan Turki turut menerima kesan serangan daripada militan Daesh ini.

Secara umumnya, serangan Daesh menyasarkan kepada negara yang terbabit dalam peperangan di Iraq dan Syria. Namun, negara yang tidak terbabit seperti Sweden juga menerima tempias serangan balas Daesh di Eropah. Serangan Barat ke atas kumpulan Daesh ini di Syria dan Iraq dilihat memberi kesan besar kepada kekuatan Daesh.


ANGGOTA polis di pintu masuk Johor Bahru ke Singapura, di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, dalam usaha mencegah aktiviti militan Daesh. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Daesh semakin lemah

Kumpulan itu dilihat gagal menumbangkan rejim Bashar al-Assad dan semakin lemah selepas diserang bertubi-tubi dari udara dan darat melalui gerakan tentera anti-Daesh oleh penduduk tempatan di Iraq dan Syria. Keadaan mendesak yang diterima Daesh ini menyebabkan mereka harus melebarkan sayap serangan mereka ke seluruh dunia khususnya Eropah supaya peperangan di Syria dan Iraq dirasai masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, Daesh mengarahkan individu tertentu untuk bertindak sebagai pejuang berani mati yang dikenali sebagai lone wolf untuk menyerang penduduk awam di Eropah. Jelas, serangan dilakukan kepada penduduk awam Eropah adalah salah di sisi agama Islam. Islam tidak membenarkan serangan kepada orang awam. Namun, serangan Daesh ini bertujuan mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan penduduk Eropah.

Komuniti Islam di Eropah kini berusaha menghalang belia Islam daripada menyertai Daesh. Mengikut Metropolitan Police Commissioner di London, ada lima warga Britain akan menyertai Daesh setiap minggu. Ini bermakna, ada ribuan warga Muslim Eropah menyertai Daesh. Ini perlu ditangani oleh kerajaan negara Eropah dengan kerjasama komuniti Islam di sana.

Oleh kerana ini fenomena baharu, banyak negara Eropah tidak mempunyai dasar khusus menghadapi ancaman Daesh. Malah, negara seperti Jerman cuba belajar dari Malaysia dan Indonesia untuk mewujudkan satu dasar deradikalisasi yang belum wujud di negara itu. Yang penting, usaha perlu dilakukan untuk menghalang belia Muslim daripada menjadi ekstremis lalu menyertai Daesh.

Di Malaysia, ada juga pendukung Daesh warga Malaysia yang cuba mewujudkan suasana ketidaktenteraman dan peperangan di rantau Nusantara ini. Misalnya, pada 2016, wujud propaganda video oleh Daesh yang menunjukkan seorang warga Malaysia bernama Mohd Rafi Udin atau dikenali sebagai Abu Ain dari Negeri Sembilan yang menyeru pejuang dan penyokong Daesh melancarkan peperangan di Malaysia dan membunuh sesiapa sahaja yang menolak perjuangan Daesh di samping menyasarkan serangan kepada anggota polis.

Gerakan Daesh ini juga digerakkan melalui sumber seperti gerakan Katibah Nusantara yang berpusat di Filipina. Dilaporkan baru-baru ini oleh media Singapura, Straits Times, yang merujuk sumber daripada Jeneral Eduardo Año daripada tentera Filipina bahawa pemimpin utama Daesh Asia Tenggara warga Malaysia, iaitu Dr Mahmud Ahmad terkorban selepas cedera dalam pertempuran pada 7 Jun 2017 lalu. Ini seterusnya bakal melemahkan gerakan Daesh khususnya di Malaysia.

Sekat pengaruh ekstremisme

Secara umum, Kerajaan Malaysia melalui agensi kerajaan melakukan banyak pendekatan untuk memastikan warga belia Malaysia tidak terjerumus ke landasan ekstremisme lantas menyertai militan Daesh. Pihak polis menjalankan tugas dengan cekap dan menggagalkan banyak aktiviti golongan Daesh. Malah, polis sudah melakukan lebih 250 tangkapan sejak 2016.

Pihak mahkamah juga menjalankan keadilan melalui penghukuman berat iaitu 25 tahun penjara kepada dua orang yang terbabit dalam serangan bom ke atas satu kelab hiburan di Kuala Lumpur pada Jun 2016 lalu. Malaysia juga sudah ada undang-undang seperti POTA dan SOSMA yang mampu menangani ancaman Daesh.

Yang jelas, ancaman daripada Daesh terhadap kerajaan dan rakyat Malaysia masih wujud meskipun banyak cubaan dilakukan sebelum ini digagalkan oleh pihak keselamatan negara. Kesedaran warga Muslim Malaysia perlu tinggi akan penolakan kepada aktiviti Daesh yang dilihat boleh mengkucar-kacirkan negara. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Eropah, berlaku juga di Malaysia.

Kita juga hendaklah menolak tesis Huntington yang melihat Islam sebagai ancaman Barat dan global. Yang pasti sempena Syawal yang mulia ini, rakyat Malaysia harus menerima ajaran Islam sebenar dan menolak menyertai Daesh yang jelas menyimpang daripada ajaran agama.

Penulis ialah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

382 dibaca
Berita Harian X