Isnin, 10 Julai 2017 | 7:08pm

Ribuan berpindah susulan kebakaran hutan California


Kepulan asap kelihatan menyelubungi awan akibat kebakaran hutan berhampiran Santa Maria, California. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Kebakaran hutan merebak ke sebahagian besar kawasan di California sehingga memaksa beribu-ribu penduduk berpindah, ketika negeri paling ramai penduduk di Amerika Syarikat itu dilanda cuaca panas dan banyak bangunan terbakar.

Kira-kira 8,000 penduduk terpaksa berpindah ketika beribu-ribu anggota bomba mengawal 14 kebakaran hutan besar di seluruh negeri itu, kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).

Kebakaran yang dinamakan 'Alamo' itu memusnahkan kawasan seluas 9,658 hektar selepas bermula di San Luis Obispo sebelum merebak ke Santa Barbara di sepanjang pesisir tengah negeri itu, kata pihak berkuasa.

Ia adalah kebakaran terbesar di negeri yang terletak di pertengahan antara San Francisco dan Los Angeles itu, dengan 15 peratus berjaya dikawal setakat ini, kata Cal Fire.

Di Santa Barbara, kira-kira 1,000 anggota bomba bergelut dengan masa untuk mengawal kebakaran Alamo yang menyebabkan 200 penduduk di kawasan terpencil terpaksa menyelamatkan diri dengan bantuan helikopter penyembur air.

Usaha memadamkan kebakaran, tertumpu di puncak gunung yang mempunyai infrastruktur penting, kata akhbar Los Angeles Times, seperti kabel bervoltan tinggi yang menyalurkan tenaga elektrik ke beberapa bandar berjiran.

Lebih 3,500 orang menyelamatkan diri daripada kebakaran Whttier di daerah Santa Barbara yang bermula sejak tengah hari kelmarin, ketika suhu mencecah 43 darjah Celsius, kata pihak berkuasa. - AFP

646 dibaca
Berita Harian X