Ahad, 16 Julai 2017 | 10:43pm

Akauntan diperlukan semua sektor


FOTO hiasan.

AKAUNTAN ialah antara jawatan utama di setiap syarikat sama ada kecil mahupun bertaraf multinasional, dan berperanan penting memastikan perancangan kewangan organisasi dilaksanakan dengan baik.

Profesion itu menuntut kemahiran dalam ilmu matematik, selain kemampuan menganalisa dan membanding fakta serta nombor untuk membuat keputusan kukuh berdasarkan pengetahuan akauntan terbabit.

Pembabitan dalam bidang perakaunan juga memerlukan minat, fokus dan kemahiran berkomunikasi kerana melakukan tugasan luar serta berurusan dengan orang ramai.

Semua sektor memerlukan tenaga akauntan, termasuk perniagaan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian yang dikomersialkan, untuk melaksanakan tugas simpan kira wang serta mengendalikan prestasi syarikat melalui tugasan di dalam mahupun luar organisasi.

Akauntan bukan hanya bertugas di dalam syarikat tetapi juga melakukan kerja luar seperti menguruskan hal berkaitan penyata kewangan untuk pemegang taruh.

Seperkara menarik, mereka yang memiliki ilmu perakaunan secara langsung ada kelebihan dalam pengendalian kewangan perniagaannya jika membuka bisnes sendiri, termasuk dari segi pengiraan gaji, keuntungan dan kerugian.

Berikutan itu, pelajar jurusan perakaunan harus bijak membawa diri menerokai dunia pekerjaan kelak, lebih-lebih lagi pihak industri memerlukan akauntan yang berpengalaman dalam pelbagai aspek dan bukan hanya akademik.

Selain itu, mereka perlu lebih peka terhadap persekitaran kerja seperti hubungan sesama kakitangan, pengurusan masa dalam pelaksanaan tugas diberikan, keupayaan bersaing dan memberikan perkhidmatan terbaik.

Akauntan serba boleh mampu memberi impak positif terhadap ekonomi negara yang pesat membangun, malah peluang kerjaya terbuka luas kepada graduan bidang itu.

INFO

Peluang kerjaya graduan perakaunan

  • Akauntan
  • Pembantu akauntan
  • Kerani akaun
  • Juruaudit
  • Bendahari
  • Juruwang
  • Usahawan
163 dibaca
Berita Harian X