Ahad, 16 Julai 2017 | 10:54pm

Evolusi busana Muslimah


ANTARA koleksi jubah dan khimar yang boleh didapati di BFS. - Foto Ihsan Pembaca

BUSANA labuh seperti jubah sering kali dianggap fesyen paling selamat untuk digayakan kerana ia dapat menutup keseluruhan aurat. Bagaimanapun, selari dengan aliran fesyen global yang berkembang pesat, busana Muslimah turut melalui proses perubahan.

Kini, jubah bukan lagi satu-satunya busana yang menjadi identiti Muslimah, bahkan kebanyakan wanita sudah mula menyesuaikan diri untuk keluar daripada kepompong fesyen pengaruh Arab dengan kemunculan pereka pakaian kontemporari Islamik.

Menghasilkan rekaan gaya alternatif, tetapi tetap peka terhadap garis panduan pemakaian wanita Islam yang mementingkan ciri kesederhanaan terutama dalam aspek pemilihan fabrik, corak, warna, potongan dan lebih penting ia mesra ibadat dalam apa juga keadaan.

Pereka fesyen yang juga pengasas bersama butik Muslimah, By Fatin Suhana (BFS), Che Wan Fatin Suhana Che Wan Khalid, 28, antara pengusaha yang berani memecah tembok fesyen Islamik dengan mengetengahkan rekaan suntikan moden dan tradisional Melayu.

Memfokuskan rekaan kepada pakaian wanita Islam yang sesuai untuk semua golongan termasuk mereka yang memakai purdah, setiap baju BFS melalui kajian dan eksperimen berulang kali bagi memberikan kepuasan, keselesaan dan sudah pasti perlu menepati syariat Islam.

Khimar percuma

Che Wan Fatin Suhana berkata, kualiti fabrik turut diambil kira supaya pakaian dikenakan tidak jarang atau nipis, selesa digayakan dan tidak keterlaluan manakala ciri menarik pada baju keluaran BFS adalah bahagian tangan mempunyai zip tersembunyi bagi memudahkan pemakai mengambil wuduk.

Ingin menggalakkan cara pemakaian yang sempurna, BFS tampil dengan strategi menawarkan khimar atau tudung labuh secara percuma kepada pelanggan yang mendapatkan dua gaun labuh keluarannya iaitu Qadira dan Khadeeja.

"Ramai wanita ingin tampil anggun dan mengenakan busana seperti puteri, jadi ia memberikan inspirasi untuk menampilkan pakaian sedemikian dengan menggunakan kain polos daripada warna pastel.

"Menariknya, busana ini dibuat satu set bersama khimar daripada rona sama yang dihadiahkan percuma kepada pelanggan. Mulanya, agak risau juga kerana khimar kurang dikenali namun lama-kelamaan ia semakin diterima walaupun labuh," katanya.

Katanya, gaun Qadira dan Khadeeja menggunakan material chiffon ditampilkan dalam 16 warna berbeza, dihiasi batu kristal di bahagian kain yang menampakkan kilauan terutamanya apabila dipakai pada waktu malam.


ANTARA rekaan kurung peplum muslimah oleh Fatin Suhana. - Foto Ihsan Pembaca

Guna 13 meter kain

Keunikan Qadira kerana ia memberi penekanan kepada potongan yang cantik, tidak dibuat terlalu besar atau longgar. Pemakai akan merasai keselesaan terutama di bahagian pinggang dan bahu, seolah-olah memang direka mengikut saiz tubuh mereka.

Rekaan ini mempunyai potongan bentuk badan tetapi masih mengekalkan kesopanan khususnya di bahagian kain yang dibuat berlapis dan beralun menggunakan 13 meter kain dengan bahagian dalam (lining) daripada material sama.

Bagi yang ingin tampil ayu dalam gaya lebih sederhana, Khadeeja adalah pilihan sesuai kerana potongan kainnya kembang di bahagian bawah. Sesuai digayakan untuk pelbagai acara, ramai yang memilih untuk mengenakannya di hari bahagia terutama pada majlis pertunangan dan pernikahan.

Selain itu, menurut Che Wan Fatin Suhana, BFS turut menampilkan gaun baharu dinamakan Inayah yang mempunyai ciri khas iaitu cape (penutup) di bahagian dada bagi melindungi aurat wanita sekiranya mengenakan tudung atau hijab singkat.

Inovasi kurung peplum

Rekaan peplum kembang di bahagian pinggang kian menjadi trend, cuma kebanyakan busana potongan sedemikian agak singkat. BFS merealisasikan impian Muslimah menggayakan fesyen peplum dengan menghasilkan baju kurung moden peplum eksklusif dinamakan Celine Kurung.

Potongan pinggang baju kurung itu yang dibuat labuh melepasi bahagian punggung cukup cantik dipadankan dengan kain dilapisi jalur menegak bagi memastikan pemakai kelihatan langsing. Rekaan itu juga berpotongan di bahagian seperti paha dan pinggang tetapi tidak nampak ketara.

Dihiasi kain jaring

Menggunakan material oriental satin, bahagian peplum dihiasi kain jaring lembut di bahagian luar bagi menghasilkan gaya elegan seterusnya memberi keyakinan kepada si pemakai untuk tampil bergaya dalam batasan dibenarkan.

Naluri wanita ingin kelihatan cantik dan bergaya masih boleh dipenuhi dengan syarat mereka bijak menghasilkan pakaian yang tidak terlalu menonjol, tetapi tetap nampak menawan melalui pemilihan rekaan serta warna yang sesuai.


ANTARA rekaan keluaran oleh Fatin Suhana. - Foto Ihsan Pembaca

INFO

Tip memilih pakaian Muslimah:

- Pilih warna tudung yang sama dengan corak baju.

- Corak bunga yang kecil sesuai bagi mereka yang ingin kelihatan lebih kecil daripada saiz sebenar.

- Warna gelap mampu memberikan ilusi langsing kepada pemakai.

- Pilihan tudung polos atau kosong adalah gaya selamat jika baju dikenakan sarat dengan corak.

1275 dibaca
Berita Harian X