Ahad, 16 Julai 2017 | 10:56pm
PELANCONG cilik memberi gajah makan.

Bermanja, berhibur di perkampungan gajah


MEMANDIKAN gajah aktiviti yang tidak boleh dilepaskan.

ANAK gajah berusia paling muda seawal tiga tahun seolah-olah memahami dirinya menjadi perhatian pengunjung apabila ia 'menari' dan menganggukkan kepala sebaik saja namanya dilaung beberapa petugas yang mengiringi sekumpulan pelancong.

Itulah antara persembahan menarik daripada sekumpulan anak gajah di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) umpama menonton gelagat mereka di pertunjukan sarkas!

Kebanyakan gajah di KECV rata-ratanya adalah anak gajah 'yatim piatu'. Gajah berkenaan sangat manja, begitu terlatih, selain 'mendengar' kata atau arahan daripada gembala mereka.

KECV memulakan operasi pada tahun 2014 adalah antara produk pelancongan terbaharu di Hulu Terengganu.

Pelbagai aktiviti disusun oleh pengurusan KECV dan paling popular ialah menunggang dan memberi makan kepada gajah. Pengunjung yang berani dan sporting, boleh membiarkan anak gajah 'mencium' pipi dengan belalai!

Paling menarik ialah pertunjukan gajah yang bertujuan memberi pendidikan. Jiwa penonton pasti direntap apabila dua ekor gajah, ibu dan anak 'melakonkan' semula peristiwa ibu gajah diracun oleh orang kampung, lalu mati.

Si anak yang tidak mengetahui apa-apa, mengibas belalainya beberapa kali ke seluruh badan ibunya kerana menyangka ibunya masih hidup.


LAKONAN semula gajah mampu rentap perasaan pengunjung.

Pastikan kelangsungan hidup

Pengarah Urusan, S Bina Management Sdn Bhd yang bertanggung jawab mengelola dan menyelia KECV, Ang Ching Yang berkata, memori atau otak gajah sangat besar.

Apabila menimpa sesuatu dirinya atau keluarga, ingatannya terhadap peristiwa itu mampu bertahan selama 60 tahun!

"Gajah yang ditempatkan di KECV kebanyakannya anak gajah yatim piatu apabila keluarga mereka dibunuh disebabkan perdagangan gading.

"KECV memastikan sokongan dan kelangsungan hidup secara tersusun bagi mengatasi kepupusan gajah. Kami memainkan peranan dalam mendidik orang ramai mengenali kelakuan dan habitat mereka," katanya.

Ching Yang berkata, kaki gajah tidak boleh cedera atau luka kerana keadaan itu boleh menghalangnya mencari makanan.

"Selain itu, penyelenggaraan atau makanan gajah menelan kos yang sangat mahal.

"Kedatangan pelancongan antara penyelesaian bagi menampung perbelanjaan. Kami juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan sebagai pemandu pelancong, penyelenggara mahupun pengembala gajah," katanya yang dilihat begitu rapat dan mampu berinteraksi dengan gajah-gajahnya.

Aktiviti yang tidak boleh dilepaskan dan dianggap wow!, ialah memandikan gajah di sungai berdekatan.

Bagi mereka yang benar-benar berani, boleh duduk di badan gajah yang sedang baring atau bersantai di dalam sungai!


SEKUMPULAN pelancong bersama gajah jinak yang membuat persembahan.

FAKTA NOMBOR

* 18 ekor - Jumlah gajah di KECV

* 42 tahun - Usia gajah paling tua

* RM40 - Harga tiket dewasa (MyKad)

* 60 kilometer - Jarak dari Kuala Terengganu

INFO

  • KECV dibangunkan dalam kawasan Hutan Rizab Kekal Hulu Telemung seluas 256 hektar.
  • Hanya 11 ekor gajah jinak di KECV dipertontonkan kepada orang ramai.
  • Kira-kira 150kg-250kg rumput Napier diperlukan sehari sebagai makanan seekor gajah.
  • Jangka hayat seekor gajah, maksimum ialah 70 tahun.
  • Sekitar Jun hingga September, pelancong dari Australia, Belanda dan Itali paling ramai berkunjung ke KECV.
  • Layari www.kecv.com.my untuk maklumat lanjut. Perkampungan gajah dibuka setiap hari mulai 9 pagi hingga 6 petang.
693 dibaca
Berita Harian X