Ahad, 1 Februari 2015 | 10:04pm

F1: Mercedes beri bayangan awal, Rosberg kuasai sesi pagi ujian pra-musim


KEDUA-dua pelumba Mercedes, Nico Rosberg (kiri) dan Lewis Hamilton mempamerkan jentera baharu pasukan itu, W06 F1 di Litar Jerez, hari ini. - Foto EPA

JEREZ (Sepanyol): Mercedes meneruskan dominasi pada kempen Formula Satu (F1) 2015 dengan pelumbanya, Nico Rosberg merekod masa terpantas sesi pagi ujian pra-musim pertama di Litar Jerez, hari ini.

Pelumba kelahiran Jerman itu melengkapkan 60 pusingan sambil merakam masa terpantas 1 minit 23 saat di depan pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo dan pelumba Sauber, Markus Ericcson.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang memandu Ferrari menjadi pelumba pertama keluar daripada trek namun jentera baharunya, SF15-T gagal mengatasi kepantasan Mercedes.

Malah pelumba Jerman itu mencatat masa jauh ketinggalan berbanding Rosberg dan satu ketika, ketinggalan 3 saat berbanding Mercedes.

Bekas pelumba Ferrari, Fernando Alonso pula tampak lebih bergelut bersama McLaren apabila jentera yang menggunakan enjin Honda MP4-30 menjadi jentera terakhir keluar untuk melakukan ujian.

Rosberg yang ditemui mengakui musim 2015 akan lebih mengujakan dan dia lebih bersedia untuk menghadapi rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

Mercedes yang menjuarai gelaran dunia tahun lepas dengan memenangi 16 daripada 19 perlumbaan memperkenalkan jentera baharu pasukan itu, W06, hari ini.

"Saya tahu perasaan memenangi dan bertarung untuk kejuaraan selepas tahun lalu, namun saya juga belajar mengenai perasaan tidak memenanginya pada penghujung saingan dan saya tidak mahu mengulanginya," kata Rosberg.

"Ia adalah penambah keyakinan dan memberi saya begitu banyak motivasi bagi menghadapi tahun mendatang," katanya.

Hubungan Rosberg dan Hamilton tampak tegang musim lepas hinggakan bos pasukan itu, Toto Wolff pada satu tahap menggambarkan persaingan mereka sebagai 'dua musuh bersaing untuk kejuaraan dunia.'

Mercedes begitupun dijangka berdepan lebih cabaran musim ini terutama dengan perubahan teknikal dan peraturan berbanding tahun lepas. - AFP

114 dibaca
Berita Harian X