Jumaat, 27 Februari 2015 | 3:31pm
Khalid Mamat (kiri) manakala gambar kanan Emma Maembong. - Foto NSTP

Kenapa cakap macam itu - Emma Maembong

KUALA LUMPUR: Rentetan kisah pengarah Pengarah filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, Mamat Khalid terkilan dengan dua bintang utamanya, Zizan Razak dan Emma Maembong kerana tidak hadir pada pra tonton filem berkenaan malam semalam, Emma bangkit memberikan penjelasan bagi pihaknya pula.

Emma yang dihubungi BH Online sebentar tadi agak terkejut dengan kenyataan berkenaan yang terpacul dari mulut pengarah itu.

Namun Emma terlebih dulu memohon maaf kepada pengarah itu termasuk produksi serta rakan media yang hadir menonton tanpa kehadirannya sebagai salah seorang teraju utama.

"Saya bukan sengaja tak mahu pergi atau mengelak menghadiri pra tonton filem itu tetapi saya sedari awal sudah memaklumkan ada komitmen lakonan untuk drama Isteri Separuh Masa arahan Michael Ang di samping Aiman Hakim Ridza.

"Penggambaran itu berlangsung dari Pulau Pinang hingga ke Langkawi. Ikutkan saya sudah memaklumkan kepada isteri abang Mamat sendiri mengenai jadual seni saya. "Malah saya siap memberikan nombor telefon pembantu pengarah untuk pihak mereka periksa semula jadual.

"Tapi memang tak ada rezeki untuk saya bersama menonton bersama. Tambahan pula ia filem sulung lakonan saya. Takkanlah saya tak mahu menyaksikannya sendiri detik manis itu. Kalaulah pratonton itu dilakukan hari ini memang saya boleh menghadirkan diri," katanya.

Tambah Emma lagi, beliau mendapat tarikh pratonton filem itu sekitar seminggu lalu dan pada ketika itu memang dirinya tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana sudah terikat dengan penggambaran drama itu.

"Terlalu lewat untuk saya block tarikh tayangan itu kerana dimaklumkan pada minit akhir. Insya-Allah kalau ada pratonton sekali lagi, saya memang mahu hadir. Kecewa memang kecewa dengan kenyataan abang Mamat itu.

"Kenapa cakap macam itu sedangkan pihak mereka tahu saya ada komitmen. Kenapa tak beritahu pihak media perkara sebenar," katanya.

192 dibaca
Berita Harian X