;
Jumaat, 27 Februari 2015 | 5:21pm

32 pasukan dari 12 negara sertai Kejohanan Ragbi Borneo Tujuh Sebelah di Sandakan

SANDAKAN: Kejohanan Ragbi Borneo Tujuh Sebelah yang bermula hari ini menyaksikan 32 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia berentap di Padang Kelab Ragbi Eagles di Bandar Utama IJM, di sini.

Kejohanan edisi ke-14 itu disertai kelab antarabangsa dan negara dari Asia Pasifik itu adalah antara kejohanan utama ragbi di negara ini.

Pengerusi penganjur yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Sabah, Velayuthan Tan berkata kejohanan itu terbahagi kepada kategori kelab pasukan lelaki dan bawah 16 tahun lelaki.

Katanya pasukan dari luar negara yang menyertai kejohanan itu termasuk Papua New Guinea, Samoa, Tonga, Fiji, Australia, China, Hong Kong, Jepun dan Singapura.

Malaysia akan diwakili kelab Borneo Eagles, ERC 7s, Angkatan Tentera Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Labuan Marlin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), OSCA Warriors dan KK Sharks.

Juara bertahan dua kali iaitu Daveta dari Fiji turut beraksi untuk mendapatkan kemenangan hatrik kejohanan itu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penganjuran kejohanan ini turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri Sabah, Institit Sukan Negara, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Kesatuan Ragbi Sabah.

Tan berkata kejohanan ragbi ini antara kejohanan ragbi utama di Asia dan turut disertai pemain ragbi luar negara yang pernah beraksi pada kejohanan ragbi dunia antaranya dari New Zealand dan Fiji.

Penganjuran kejohanan pada kali ini adalah yang terbaik berikutan penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap di Padang Kelab Ragbi Eagles di Bandar Utama IJM ini, katanya.

Dalam pada itu, bagi kategori kelab pasukan lelaki, pasukan bertanding adalah Daveta, Melbourne University, Borneo Eagles, Southern Lions, ERC 7s, Palmyra, OSCA Warriors, ATM, UPM, DBKL, Labuan Marlin dan KK Sharks.

Enam pasukan lelaki akan bersaing untuk Piala Asia Pacific Cross Regional Sevens iaitu China, Hong Kong, Tonga, Papua New Guinea, Sri Lanka dan Singapura.

Kategori wanita pula disertai lapan pasukan dari China, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Thailand, Melbourne (Australia), Papua New Guinea dan Samoa.

Kategori bawah 16 tahun lelaki disertai pasukan dari Kesatuan Ragbi Sabah, Sabah College, Kolej Vokasional Tawau, Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Southern Lions Outlaws (Australia) dan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. - Bernama

149 dibaca
Berita Harian X